Kertas Putih Felda telah dibentangkan pada April lalu yang turut melibatkan pengumuman pelan kerajaan untuk menyelamatkan Felda bernilai RM6.23 bilion. Namun yang menjadi tanda tanya, adakah usaha itu memadai? Kandungan kertas putih berkenaan disifatkan banyak pihak sebagai masih kelabu dan kita hanya boleh berharap ia bukan satu lagi cerita gajah putih.

Selepas pembentangan Kertas Putih Felda itu, timbul pula isu-isu yang tidak enak didengar seperti pertikaian perjanjian pajakan tanah (LLA) antara Felda dan Felda Global Ventures Bhd. (FGV) serta kes saman sebuah syarikat terhadap Felda dan Felda Investment Corporation (FIC).

Isu lain yang timbul adalah peletakan jawatan kepemimpinan kanan Felda yang kemudian digantikan oleh individu yang mempunyai hubungan kait dengan pentadbiran terdahulu.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, saya mencadangkan satu mekanisme baharu diperkenalkan agar peneroka tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan. Saya juga ingin menyarankan agar pelabur baharu dari luar yang mempunyai pengalaman dalam industri perladangan dan mengamalkan teknologi pintar pertanian turut bersama untuk membantu Felda.

Cadangan ini boleh dianggap paling terbaik kerana ia melibatkan kerjasama sektor awam dan swasta di mana terdapat rakan kongsi strategik yang mempunyai kepakaran dan kebolehan dalam pemulihan Felda. Apa jua langkah yang diambil, ia mesti bersifat penyelesaian jangka panjang.

Saya amat berharap kerajaan dan pentadbiran baharu Felda terus berusaha sedaya upaya untuk memulihkan organisasi itu supaya kembali megah seperti dahulu.

SYED ARIQ AMRAN

Klang, Selangor