Berikutan keputusan terbaharu Kementerian Belia dan Sukan untuk menggantikan nama Hari Sukan Negara kepada Malaysia Sport Challenge (MySC19), ia dilihat tidak menyambut baik usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan ini.

Walaupun ada sesetengah agensi dan badan kerajaan yang menjenamakan diri mereka dengan menggunakan bahasa Inggeris, penggunaan nama Inggeris tersebut mempunyai sebab yang kukuh. Ia dianggap sesuai jika dilihat sebagai wadah untuk mempromosikan jenama Malaysia di peringkat global.

Sebagai contoh, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggunakan akronim Inggeris untuk lebih dikenali orang asing dari luar negara selain mampu untuk menarik pelabur asing sekali gus memberikan keuntungan kepada ekonomi negara.

Sebaliknya, Hari Sukan Negara adalah berbentuk dalaman yang tidak melibatkan rakyat asing. Ia adalah dari rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia. Ia bertujuan menggalakkan dan memberikan kesedaran kepada rakyat negara ini untuk bersukan bagi mengekalkan kesihatan yang baik melalui aktiviti fizikal. Ia memberi perspektif bahawa negara memerlukan rakyat yang sihat, baik dari segi rohani dan jasmani.

Di samping itu, mengekalkan jenama Hari Sukan Negara juga memberi konotasi yang mendalam untuk rakyat mencintai negara dengan mewujudkan rasa kepunyaan terhadap bahasa ibunda. Tempoh pelaksanaan Hari Sukan Negara pada sepanjang bulan Oktober juga seharusnya mengekalkan sifat patriotisme di mana negara meraikan hari kemerdekaan pada 31 Ogos dan hari Malaysia pada 16 September. Dengan mengekalkan namanya dalam bahasa Melayu, pengukuhan semangat cintakan negara ini dapat berterusan selama tiga bulan.

DR. MUHAMMAD

ASHRAF FAUZI

Pensyarah kanan UMP