Walaupun ia merupakan langkah yang baik, hukuman mati berdasarkan budi bicara masih lagi penghalang dalam menegakkan maruah dan hak kepada kehidupan.

Suhakam berpandangan bahawa hukuman mati bukan cara yang berkesan atau mekanisme pencegahan jenayah terbaik dalam sistem keadilan. Tiada sebarang bukti sahih bahawa hukuman mati dapat mengurangkan kadar jenayah dengan berkesan berbanding hukuman penjara.

Tambahan pula, tiada sistem keadilan di dalam dunia yang bebas daripada kesilapan. Akan sentiasa ada kemungkinan bahawa orang yang tidak bersalah boleh menjadi banduan akhir akibat pelbagai sebab.

Daripada kekurangan bukti untuk membela diri sehinggalah kepada kesilapan dalam penggunaan sains forensik. Di Amerika Syarikat (AS), The Innocence Project telah membebaskan 364 banduan akhir melalui bukti DNA selama lebih 25 tahun. Berapa ramai orang di Malaysia yang akan bebas dari hukuman mati sekiranya perkara sama dilaksanakan di negara ini?

Hukuman mati merupakan sesuatu yang tidak boleh ditarik balik. Apabila seseorang telah dikenakan hukuman mati, tiada cara untuk memulihkan ketidakadilan sekiranya berlaku kesilapan dalam proses penghakiman.

Sehingga Oktober 2018, seramai 1,279 orang berada di dalam senarai banduan akhir, iaitu lebih kurang 3% daripada keseluruhan populasi penjara atau lebih kurang 60,000 orang.

Majoriti daripada mereka dipenjarakan akibat kesalahan berkaitan dadah. Sebanyak 35 hukuman mati dilaksanakan dari tahun 2007 hingga 2017.

Kumpulan penyokong Harm Reduction International menyenaraikan Malaysia antara enam negara yang melaksanakan hukuman mati tertinggi dalam kes dadah, selainnya ialah China, Iran, Vietnam, Arab Saudi dan Singapura.

Bagaimanapun, menurut resolusi Majlis Ekonomi dan Keselamatan 1984 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hukuman mati boleh dilaksanakan hanya untuk kes jenayah serius yang tidak termasuk kesalahan dadah.

Kini, sebanyak 106 negara telah memansuhkan hukuman mati atas dasar memperakui bahawa ia kejam dan tidak berperikemanusiaan, dan tidak memulihkan penjenayah serta tidak menangani punca utama dalam masyarakat yang membawa kepada perlakuan jenayah serius.

Suhakam mengulangi pendirian bahawa hukuman mati tidak patut dilaksanakan dalam sistem perundangan moden kerana ia mencabuli hak kepada nyawa yang merupakan hak paling asas. Oleh itu, Suhakam menyeru agar kerajaan mengambil langkah bagi memansuhkan hukuman mati sepenuhnya, dan bagi menyertai Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) serta Konvensyen Menentang Penyeksaan Dan Layanan Atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan, Atau Menjatuhkan Maruah (CAT).

TAN SRI RAZALI ISMAIL

Pengerusi Suhakam