Industri sawit di Malaysia telah mengamalkan polisi zero burning untuk memastikan kelestarian alam, namun perkara berbeza bagi industri padi kita. Amalan membakar jerami masih dilakukan bagi memudahkan kerja petani. Pembakaran terbuka yang disebabkan oleh aktiviti pertanian berpunca daripada beberapa faktor antaranya jalan mudah bagi penyediaan kawasan sebelum penanaman baharu dan di kebanyakan kawasan jelapang padi, amalan membakar jerami masih dilakukan.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengawal penyakit, serangga perosak serta pengurusan sisa selepas tanaman dituai. Sebenarnya, jerami padi boleh dijadikan makanan haiwan, baja kompos dan biochar. Jadi tidak perlu dibakar begitu sahaja. Kompos dan biochar boleh digunakan semula dalam aktiviti pertanian sebagai sumber nutrien.

Bahkan paling mudah jerami boleh sahaja dijadikan teduhan bagi memelihara kelembapan tanah. Oleh yang demikian pembakaran jerami di jelapang-jelapang padi mungkin boleh dikurangkan atau dihentikan terus menerusi inisiatif tersebut. Pemanasan global mungkin berlaku secara semula jadi, tetapi aktiviti manusia merupakan penyumbang utama kepada fenomena tersebut.

DR. ADIBAH MOHD. AMIN

Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM)