Namun semalam, negara bersedih apabila Mejar Mohd. Zahir Armaya, dari 11 Rejimen Gerak Khas (GGK) terbunuh selepas terkena tembakan peluru hidup semasa melakukan gimik di Kem Lok Kawi, Sabah. Video insiden itu juga tular dan ia mencetuskan pelbagai spekulasi.

Setakat ini, tiada penjelasan tepat daripada pihak berkuasa, sama ada polis mahupun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apakah kejadian itu berpunca akibat tersalah sasaran atau baju kalis peluru yang dipakai anak pelakon dan pelawak A.R Badul tersebut gagal berfungsi.

Apa pun, insiden itu mengundang banyak persoalan khususnya dalam soal pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) penembakan peluru hidup. Paling utama apa perlunya menggunakan peluru hidup ke atas sasaran bernyawa kerana walaupun terlatih, kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Ini kerana kelajuan peluru adalah tiga kali ganda kelajuan bunyi (setakat ini jenis senjata api belum disahkan) dan kemampuan baju kalis peluru untuk menahan peluru bukan hanya bergantung kepada kualitinya tetapi jarak dan sudut tembakan juga mempengaruhi - sepatutnya jika peluru 9mm digunakan, ia tidak menembusi baju kalis peluru.

Jika dilihat kepada video gimik terbabit, jelas anggota komando berpangkat Lefternan Kolonel yang menerima tembakan awal yang dilepaskan Allahyarham merasai kesakitan sehingga dia melutut seketika dan adalah tidak mustahil kesakitan tersebut menyebabkan tembakannya sedikit tersasar sekaligus membunuh Mohd. Zahir.

Keduanya, dari segi SOP, tembakan peluru hidup sepatutnya tidak boleh dilakukan di hadapan orang awam dan anggota juga tidak dibenarkan membahayakan rakan sepasukan. Bukan setakat peluru hidup, tetapi senjata tanpa peluru sekalipun tidak boleh dihalakan kepada sesiapa kerana bahaya itu tetap ada.

Dalam soal ini, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sendiri melarang penggunaan peluru hidup ke atas sasaran bernyawa termasuk oleh pasukan elitnya Paskal. TLDM hanya membenarkan peluru hidup digunakan ke atas sasaran piring atau patung manusia walaupun penembaknya adalah Paskal.

Justeru, tindakan segera perlu dilakukan Kementerian Pertahanan dan ATM kerana dalam usaha untuk melahirkan komando terbaik dengan pelbagai latihan luar biasa yang perlu dilalui, kita juga pastinya tidak mahu aset pertahanan seperti Mohd. Zahir menjadi korban, sedangkan kejadian itu sebenarnya boleh dielakkan tanpa sedikit pun menghakis kecekapan mereka.

Sesungguhnya, itulah hakikat pengorbanan anggota tentera, nyawa mereka taruhan sebenar bukan sahaja di medan perang tetapi juga ketika latihan, jadi hargai dan hormatilah mereka, jangan pula dihina kerjaya suci ini. - Innalilllah. - UTUSAN ONLINE