Berikutan keputusan itu, kata Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan sedang mengkaji kaedah pelaksanaan menggunakan sistem baharu berasaskan teknologi maklumat (IT). Menerusi kaedah itu, pengajaran guru terbaik akan direkodkan untuk digunakan di semua sekolah sekali gus dapat mengatasi isu guru kurang kemahiran bahasa Inggeris yang menjadi antara punca kegagalan pelaksanaan PPSMI sebelum ini.

Kenyataan Dr. Mahathir itu sebenarnya tidak mengejutkan. Kita semua tahu bahawa beliau yang memperkenalkan PPSMI pada 2003 hasil daripada perbincangan Kabinet pada 2002. Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) berpendapat bahawa proses mengkaji semula PPSMI tidak harus terburu-buru dan perlu melibatkan pihak-pihak berkepentingan, terutamanya tenaga pengajar dan ibu bapa.

Penglibatan pihak berkepentingan sangat penting dalam isu ini kerana hasil pelaksanaan PPSMI sebelum ini bersifat dari atas ke bawah dan telah menerima kecaman hebat daripada rakyat. Antara impak pelaksanaan yang ketara dapat kita lihat melalui kajian Trends in Mathematics and Science Study, di mana kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007.

PPSMI juga dikatakan mewujudkan satu jurang pencapaian yang luas antara sekolah di bandar dan luar bandar. Situasi ini berlaku akibat tahap penguasaan seseorang murid dalam bahasa Inggeris yang lemah yang seterusnya telah menyebabkan murid tersebut ketinggalan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Semua pendapat di atas yang memang telah dan sedang dibincangkan oleh rakyat harus diambil kira semasa membuat keputusan. Pemuda PSM berpendapat bahawa sistem pendidikan negara kita bukan pentas untuk kepemimpinan baharu mengambil kesempatan untuk menunjukkan kehebatan mereka.

Sistem pendidikan haruslah menjadi sesuatu yang inklusif di mana pemerkasaan berlaku bukan hanya untuk murid dari kawasan bandar tetapi juga untuk murid dari luar bandar. Sesuatu pembaharuan dalam sistem pendidikan harus mengambil kira faktor kesediaan semua pihak yang terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

GANDIPAN NANTHA GOPALAN
Setiausaha Pemuda PSM