Adalah penting mengambil kira suasana dan persekitaran tempat seseorang itu bekerja tidak kira di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Keupayaan majikan di semua negeri untuk memberi jumlah gaji serta melakukan proses perbincangan dan kajian teliti dengan semua pihak berkaitan juga perlu sebelum keputusan akhir dibuat. Persoalan pokok harus ditanya, adakah kadar gaji minimum RM1,100 pada masa kini benar-benar mencukupi bagi menghadapi kos sara hidup para pekerja?

Isu kos sara hidup adalah penting bagi setiap pekerja terutama di kawasan bandar serta yang memiliki keluarga perlu ditanggung. Isu ini banyak bergantung kepada keadaan ekonomi semasa. Pemberian gaji tidak setimpal atau tidak bersesuaian dengan kos sara hidup di sekeliling akan menyebabkan seseorang pekerja serta keluarga mereka berada dalam kesusahan. Oleh yang demikian, adalah penting supaya faktor kos sara hidup ini diberi keutamaan dalam sebarang proses kajian yang ingin dilakukan terhadap kadar gaji minimum dalam negara kita.

Pada masa sama, kerajaan harus memastikan sebarang penetapan kadar gaji minimum baharu nanti memberi manfaat kepada pekerja tempatan dan bukannya pekerja asing yang dilihat masih banyak mendominasi sektor pekerjaan bergaji rendah.

Kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkaitan sebelum mengambil sebarang langkah akhir terhadap penetapan kadar gaji minimum terutama pandangan orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili pekerja serta majikan. Perkara ini adalah selaras dengan Seksyen 4, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) yang memperuntukkan peranan yang harus dimainkan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara ialah (a) menasihati kerajaan tentang semua perkara berhubung gaji minimum termasuk perkembangannya di peringkat antarabangsa; (b) membuat syor kepada kerajaan tentang kadar dan liputan gaji minimum mengikut sektor, jenis pekerjaan dan kawasan dan perkara-perkara lain berhubung gaji minimum dan gaji; (c) membuat rundingan dengan orang awam tentang kadar dan liputan gaji minimum; (d) mengumpul serta menganalisis data dan maklumat dan menjalankan kajian tentang gaji dan petunjuk sosioekonomi; (e) menyelaraskan dan menyelia serta menilai impak, pelaksanaan gaji minimum; (f) mengkaji semula perintah gaji minimum; (g) menimbang teliti semua perkara berhubung dengan gaji minimum; (h) menyebarkan maklumat dan analisis tentang gaji; dan (i) menjalankan apa-apa fungsi lain yang difikirkan patut untuk membolehkannya melaksanakan dengan berkesan atau yang bersampingan fungsinya.

Bagi mengatasi masalah kos sara hidup pada masa kini, kerajaan disaran memperkenalkan beberapa bentuk elaun baharu khusus kepada pekerja tempatan yang menerima gaji minimum bagi membantu serta mengurangkan masalah kos sara hidup yang terpaksa dilalui oleh mereka.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)