JKetua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, ini berikutan selepas laporan dan tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa berhubung kes seorang wanita warga China yang ingin memohon passport Malaysia sebelum ini.

"Dilaporkan bahawa beberapa individu yang ditahan itu adalah termasuk pegawai Kerajaan berpangkat tinggi di Pulau Pinang termasuk di Putrajaya dan hasil siasatan mendapati sindiket tersebut telah berjaya menjual sejumlah enam keping MyKad.

"Maka, Wanita UMNO Malaysia mendesak supaya pihak Kerajaan mengambil tindakan segera ke atas individu-individu yang dipercayai terbabit dengan kes penjualan MyKad membabitkan nilai RM350,000 kepada warga asing dari negara China," katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, pihak kerajaan juga perlu membuat pendedahan secara terbuka siapakah dalang di sebalik penglibatan kakitangan Kerajaan terbabit dan membongkarkan lagi usaha daripada pihak tertentu membawa masuk warganegara asing ke negara ini secara besar-besaran.

Katanya, Wanita UMNO juga berpendapat bahawa berkemungkinan besar masih ada lagi sindiket lain membuat jenayah yang sama di luar sana dan orang ramai yang mengetahui sindiket ini juga perlu tampil ke depan dan memberi kerjasama supaya melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa.

"Oleh itu, Kerajaan Malaysia mesti tegas bertindak adil sepenuhnya berdasarkan kepada prinsip rule of law demi menjaga integriti Kerajaan dan kakitangannya.

"Ini adalah untuk memberi isyarat tegas bahawa sebarang usaha buruk yang melibatkan integriti kakitangan Kerajaan adalah suatu yang tidak boleh dikompromi dan perlu dihukum dengan hukuman yang paling keras agar perbuatan jenayah seperti ini tidak berulang," katanya. - UTUSAN ONLINE