Tidak lama selepas pendedahan itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah mengesahkan bahawa pihaknya telah melaksanakan Dasar Baharu Permit Import (AP) Terbuka.

Dasar baharu itu mula dilaksanakan pada 1 Januari lalu dan langkah itu adalah selaras dengan keputusan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 23 Disember 2015 untuk meneruskan dasar tersebut dengan beberapa penambahbaikan termasuk memberi peluang kepada usahawan bumiputera yang baharu menceburkan diri dalam industri itu.

Dasar baharu itu yang sepatutnya bermula pada 1 Januari 2017 telah ditangguhkan selama kira-kira dua tahun berikutan keadaan pasaran domestik automotif yang tidak menentu.

MCA berpendapat, langkah meneruskan pemberian AP kenderaan adalah bercanggah dengan pendirian kepemimpinan Pakatan harapan (PH) yang sebelum ini lantang menyuarakan bantahan terhadap pemberian AP atas alasan bahawa ia menggalakkan kronisme, rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan.

Selain itu, AP telah dibuktikan tidak memanfaatkan rakyat jelata dan hanya memperkayakan beberapa individu terpilih sahaja. Ini telah disahkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri yang banyak kali bercakap tentang perkara berkenaan.

Sesungguhnya, kepada rakyat jelata, AP telah menjadi sinonim dengan kronisme. Analogi ini bermula semasa pemerintahan BN apabila seorang pemimpin kerajaan ketika itu telah diberi gelaran ‘Ratu AP’ oleh pihak tertentu kerana didakwa terbabit dalam salah laku pemberian permit berkenaan.

Pemberian AP juga bakal menjejaskan industri automatif negara, terutamanya projek kereta nasional ketiga yang menggunakan wang rakyat yang telah dilancarkan baru-baru ini. Ini kerana langkah meneruskan pemberian AP akan menyebabkan banyak kereta buatan luar negara dibawa masuk ke Malaysia dengan harga yang murah kerana tidak tertakluk kepada cukai atau tarif.

Ia juga bercanggah dengan agenda kerajaan PH yang mahu membangunkan sistem pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan jalan raya.

Sistem AP sepatutnya dihapuskan dan cukai yang dikutip harus dikembalikan kepada rakyat melalui penambahbaikan dan penambahan infrastruktur awam seperti pengangkutan awam.

Ia juga boleh digunakan untuk menampung kos perbelanjaan mengurus kerajaan, sekaligus mengelak penswastaan penjawat awam yang bakal membebankan rakyat dalam jangka masa panjang.

SENATOR DATUK SERI TI LIAN KER
Naib Presiden MCA