Kegagalan peminjam PTPTN membayar hutang mereka akan menjejaskan peluang pelajar lain untuk mendapatkan bantuan berkenan bagi membiayai pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Ia sekali gus akan meningkatkan beban negara untuk menambah peruntukan lain kepada generasi baharu.

Bukan semua ibu bapa berupaya untuk menghantar anak mereka ke universiti. Dengan beban kos pendidikan yang kian meningkat, ada ibu bapa tidak mampu untuk membiayai pendidikan dan perlu bergantung kepada pinjaman sekiranya permohonan bantuan biasiswa tidak berjaya.

Kita sedar, ada peminjam bukan tidak mampu membayar balik tetapi sengaja enggan berbuat demikian. Banyak alasan diberikan untuk menyelesaikan hutang itu. Sikap liat untuk membayar hutang menggambarkan akhlak seseorang kerana ia membabitkan tanggungjawab moral.

Sebenarnya banyak cara untuk melangsaikan hutang PTPTN, antaranya membuat pemotongan gaji, pembayaran melalui perbankan internet, menggunakan simpanan Akaun 2 dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau membuat pembayaran di kaunter PTPTN. Sekiranya mempunyai permasalahan dalam pembayaran PTPTN, pelbagai cara dan khidmat yang telah disediakan oleh pihak perbadanan itu untuk membantu.

Penyelesaiannya hanya satu iaitu menjadi pembayar yang baik dan bertanggungjawab. Tidak perlu membayar dalam jumlah yang banyak sekali gus, cuma bayaran itu perlulah berjadual dan konsisten. Dengan cara ini, lama-kelamaan pasti akan langsai sepenuhnya.

Jadi sudah tiba masanya untuk kita membetulkan dan mengurus kembali hutang PTPTN. Usah menuding jari kepada pihak lain. Jangan cuba lari daripada tanggungjawab demi memudahkan generasi lain untuk mendapatkan pinjaman.

SITI AISYAH ADAM

Pensyarah Kewangan