Kami menuntut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menunaikan janji yang dibuat sewaktu berucap ketika sambutan Hari Belia Negara 2019 untuk melakukan penurunan umur secara berperingkat daripada 40 kepada 35 terlebih dahulu bukannya terus kepada 30 tahun. Proses transisi secara berperingkat akan membuka ruang kepada sebahagian besar pertubuhan belia untuk lebih bersedia dengan dasar terbaharu ini.

PKPIM sebagai antara gabungan pelajar dalam Majlis Belia Malaysia (MBM) sentiasa komited dan menyokong usaha kerajaan untuk memudakan kepemimpinan pertubuhan belia. Namun, sewajarnya langkah ini dibuat secara berperingkat dan tidak terlalu drastik dengan mengambil kira kelestarian organisasi belia dari peringkat akar umbi hinggalah kebangsaan.

Kami berdiri teguh bersama MBM berhubung isu ini. Oleh itu, PKPIM menggesa kepemimpinan belia seluruh negara supaya berganding bahu bagi memastikan suara nurani belia tidak dipinggirkan kerajaan dalam apa-apa dasar berkaitan anak muda.

PKPIM berharap perkara ini mendapat perhatian sewajarnya daripada ahli-ahli Parlimen yang rata-ratanya lahir daripada persatuan belia. Kami menaruh setinggi kepercayaan kepada kerajaan baharu di bawah kepemimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menangani isu ini secara bijaksana.

MUHAMAD NUR IMAN ABDUL KHUDUS

Presiden PKPIM