CUEPACS juga merayu kerajaan supaya tidak meneruskan keputusan tidak lagi membina rumah mampu milik khusus untuk penjawat awam kerana langkah itu akan menyukarkan lagi peluang kakitangan kerajaan memiliki kediaman berikutan mereka perlu bersaing dengan pekerja sektor swasta.

Kenyataan Azih menyamai hasil kajian yang dilakukan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi mendapatkan maklum balas daripada orang ramai mengenai harga sebenar rumah mampu milik yang sepatutnya dijual kepada golongan pekerja.

Dalam kajian PSM di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Johor yang masih berjalan sehingga kini, majoriti responden tidak bersetuju kediaman berharga RM250,000 hingga RM300,000 ditakrifkan sebagai rumah mampu milik.

Oleh itu, langkah kerajaan melancarkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara di tapak projek perumahan Elmina West, Selangor, baru-baru ini yang ditetapkan pada harga RM300,000 adalah tidak bertepatan dengan apa dimahukan rakyat.

Kerajaan harus ikhlas dan mengakui harga rumah antara RM250,000 dan RM300,000 memang tidak mampu dibeli oleh rakyat biasa. Mengklasifikasikan rumah berharga dalam lingkungan itu sebagai rumah mampu milik adalah satu usaha memperdayakan rakyat daripada realiti sebenar.

Sekali lagi PSM ingin menegaskan bahawa tugas kerajaan adalah untuk menyediakan perumahan dalam sektor sosial dan bukannya melibatkan diri dalam sektor jualan kediaman. Kerajaan harus fokus untuk menyediakan rumah untuk golongan yang sememangnya tidak boleh memperoleh kediaman mereka sendiri dari pasaran kerana harga yang sentiasa meningkat.

Daripada kajian yang dilakukan, kami mendapati majoriti golongan pekerja hanya mampu membeli rumah berharga RM100,000 dan ke bawah. Maka kerajaan harus berusaha untuk menambahkan bilangan rumah berharga dalam lingkungan itu dan membiarkan pihak swasta untuk menyediakan rumah-rumah berharga RM200,000 ke atas.

PSM akan meneruskan kempen jelajah kami ke negeri-negeri lain dalam usaha untuk mendapat maklum balas orang ramai mengenai harga rumah yang mampu dimiliki mereka dengan harapan dapat membuka mata kerajaan bahawa ada dalam kalangan rakyat yang masih tidak mampu membeli rumah walaupun telah hampir mencapai umur persaraan.

A. SIVARAJAN
Setiausaha Agung PSM