Sudut inilah sudah tentu popular di China tetapi di Malaysia kita perlu melihat kejayaan ini secara kritikal dari pandangan kepentingan negara, kerana pelaburan Malaysia dalam Proton tidak terhad kepada kewangan dan ekonomi tetapi juga secara emosi.

Kalau kita lihat pelancaran Proton Saga dikemas kini model 2019, kita tahu bahawa Proton juga sedar tentang aspek patriotik jenama Proton Saga itu sendiri.

Program pelancaran Saga sarat dengan mesej patriotik dan sejarah. Bagus dan berlangsung dari situ saya suka untuk mengingatkan kita supaya ingat tentang sejarah pembentukan Proton itu sendiri, iaitu sebagai pemangkin dan pemacu pembangunan keupayaan negara.

SHAMSUL YUNOS
SHAMSUL YUNOS 

Memang seronok bila bersorak tentang kejayaan Proton tetapi dalam keseronokkan tersebut kita perlu memastikan bahawa kepentingan kita masih lagi menjadi keutamaan pengurusan Proton.

Kini sudah mula muncul sedikit kerisauan tentang sama ada Proton akan kekal menyokong ekosistem automotif Malaysia.

Kerisauan pembekal komponen tentang permintaan penurunan kos yang tidak munasabah atau kurang berpijak kepada kenyataan semakin kuat kedengaran.

Ada yang menyatakan kerisauan kegagaln menurunkan kos ke tahap yang ditetapkan akan dijadikan sebabai sebab untuk membawa komponen dari China, atas alasan kelangsungan perniagaan Proton.

Kita faham isu kelangsungan perniagaan adalah penting, tetapi Proton ditubuhkan sebagai pencetus pembangunan teknolopgi dan keupayaan negara.

Keputusan kerajaan untuk memberi Proton 30,000 perrmit import untuk X70 yang dibina dari China adalah tanda harapan rakyat Malaysia supaya Proton terus memberi keutamaan kepada pembekal dan ekosistem automotif Malaysia.

Penurunan kos adalah sesuatu yang mungkin perlu dilakukan tetapi ia tidak bermakna syarikat besar boleh menekan pembekal tanpa memeriksa keadaan sekitar.

Proton mempunyai sejarah dan ada kalanya sejarah tidak melakrkan ingatan yang manis sahaja dan ini antara sebab mungkin kenapa penurunan kos adalah sukar untuk sesetengah pembekal.

Jumlah jualan Proton juga adalah terhad oleh itu mereka sudah tentu tidak dapat menikmati ‘economies of scale’ yang dinikmati oleh Geely di China.

Kos sahaja tidak boleh dijadikan sebab untuk tidak menggunakan kebolehan tempatan.

Saya menyokong sebarang usaha untuk menjadikan ekosistem autmotif temaptan lebih kompetitif tetapi ianya perlulah dilakukan dengan cara berhemah.

Perodua, sebagai contoh, memang sudah memulakan program pemotongakn kos yang signifikan sejak 15 tahun yang lalu.

Kali pertama mereka melancarkan program pengurangan kos sebanyak 30 peratus bermula pada tahun 2005 dan mereka mengambil masa enam tahun untuk mencapai sasaran tersebut.

Perancangan awal ialah untuk mencapai pengurangan 30 peratus dalam tempoh lima tahun tetapi terlajak setahun.

Setelah mencapai sasaran pertama mereka melancarkan kempen pengurangan kos kali kedua, kali ini sasarannya ialah untuk mencapai daya sain serantau, supaya kos kita sama dengan kilang global di Thailand dan Indonesia.

Kempen kedua ini mengambil masa lima tahun lagi.

Realiti yang Perodua perlu melakukan program pemotongan kos sebanyak dua kali untuk berdaya saing dengan kilang serantau adalah penanda aras kecekapan ekosistem tempatan.

Kini pun Perodua masih lagi mengejar tahap daya saing global jadi saya faham sangat keperluan untuk mengurangkan kos.

Saya sebutkan contoh Perodua ini sebagai bukti bahawa pembekal tempatan boleh mencapai sasaran pengurangan kos yang dramatik tetapi ia tidak boleh dilakukan secara drastik dan melulu dan menggunakan perbandingan yang tidak realistik.

Masa dan proses perundingan terperinci perlu dilakukan untuk memastikan keadilan tercapai untuk semua pihak yang berkepentingan. Dalam kes Proton ini kita semua, seluruh rakyat Malaysia mempunyai kepentingan kerana kita telah menyokong Proton dalam pelbagai cara dari pagaran impot dan pelepasan cukai sehinggalah kelulusan 30,000 AP untuk X70.

Sebagai seorang pengamal media saya sudah pun menyatakan kerisauan saya tentang perkara ini kepada kawan-kawan dalam Proton dan sebagai wartawan saya berjanji akan memantau isu ini dengan lebih dekat.

Menurut pengumuman awal tahun lalu, Proton X70 pemasangan di Tanjung Malim bakal dilancarkan tak lama lagi dan ini bakal menjadi ujian paling besar Proton dari segi kandungan tempatan.

Sebelum ini kita ada mendengar bahawa untuk model Iriz, Persona, Exora dan Saga, komponen dari China ada menggantikan komponen tempatan.

Kita faham ini akan berlaku kerana ada komponen yang mungkin sukar dihasilkan di sini tetapi kita amat berharap senarai komponen dari China tidak melibatkan komponen yang memang boleh dihasilkan di Malaysia, sebagai contok komponen plastik kosmetik, kemasan dalam kereta dan sebagainya.

Pertanyaan mengenai kandungan tempatan dan pengekalan keupayaan kejuruteraan dan reka bentuk tempatan akan menjadi isu utama untuk Proton bergerak ke hadapan.

Isu kualiti dan sebagainya saya tak berapa risau kerana sudah berkali kali kita diingatkan bahawa Geely ialah syarikat besar dan mempunyai sistem yang baik dan dibantu oleh kepakaran Volvo untuk menghasilkan kereta yang baik dan sesuai untuk pasaran.

Walaupun produknya baik, adalah sangat penting Proton tidak bertindak seperti pengedar atau penjual teknologi yang dipinjam dari tempat lain.

Perkara ini semakin bermain di fikiran saya kerana pasaran automotif China sedang merudum dan Geely dilaporkan mengalami kesusutan jualan sehingga 40 peratus, satu angka yang sangat besar dan boleh menyebabkan pelbagai masalah berlaku kepada syarikat tersebut.

Kita berharap sangat pengurusan tempatan Proton tidak membiarkan keadaan di China menjadi sebab untuk mereka mengambil kesempatan ke atas Proton dan pasaran Malaysia.

Kita perlu ingat bahawa ada banyak lagi pemain di pasaran yang telah melabur wang, dan lebih penting lagi masa dan komitmen untuk mebangunkan industi automotif tempatan.

Jenama seperti Honda dan Toyota sudah lama bertapak dan mereka berusaha untuk menggunakan komponen tempatan walaupun kita tahu ada beberapa isu yang bolos.

Jenama seperti Volvo dan Mercedes Benz, walaupun kecil tetapi sudah mengekspot kenderaan ke pasaran lain.

BMW membuka kilang berteknologi tinggi untuk pemasangan enjin di Kulim, Kedah.

Perodua bersama Daihatsu dan juga Toyota mebuat pelaburan besar di Sendayan membina dua kilang untuk penghasilan enjin dan kotak gear.

Walaupun bukan 100 peratus komponen dalaman enjin dan kotak gear dihasilkan di Malaysia namun ia satu langkah penting dalam membangunkan ekosistem tempatan.

Kita harus memberi mereka kesempatan yang saksama dan adil.

Sekarang, isu kelangsungan perniagaan Proton kelihatan sudah hampir selesai, untung dari Proton sudah menjadikan saham syarikat induk tempatan DRB-Hicom sebagai pilihan semula di Bursa Kuala Lumpur. Alhamdulillah.

Jadi eloklah kita mula fokus kembali kepada tujuan asal Proton sebagai penjana pembangunan keupayaan anak bangsa dan jangan terlalu membuta tuli mengejar keuntungan dan penurunan kos tanpa mengambil kira gambaran keseluruhan.

Saya sangat berharap pihak pengurusan Proton dapat menerima pendapat saya ini secara positif dan berusaha untuk menjayakan Proton sebagai sebuah syarikat berkepentingan Malaysia yang mengutamakan kepentingan Malaysia.

Kita mengalu-alukan pelaburan asing tetapi pelabur asing wajib mengakui bahawa mereka mencari peluang di negeri kita dan kepentingan kita mesti menjadi keutamaan.

Terpulanglah kepada kita untuk memastikan mereka sedar dan nampak dan setuju dengan pandangan ini.

 

Shamsul Yunos
Wartawan dan Penganalisis Industri Automotif

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.