Soal ibadat, soal makan minum dan soal kehidupan seharian yang pasti tidak boleh terkeluar dari hukum halal dan haram.

Membaca kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam isu ‘boikot’ barangan dan produk bukan bumiputera (non muslim). Dalam kenyataan beliau menyebut dengan jelas seolah UMNO dan Pas terlibat. ‘UMNO dan Pas terlibat?’

Seingat saya tidak ada kempen oleh UMNO dan Pas untuk boikot produk non bumiputera atau non muslim. Kalau ada kempen dari NGO untuk beli produk halal dari peniaga muslim, itu adalah diatas dasar kesedaran orang-orang Islam tentang kewajipan mereka mendapatkan produk yang benar-benar halal dan kesucian tanpa was-was.

Kenyataan Guan Eng menuduh orang Melayu/bumiputera khususnya UMNO dan Pas terlibat dalam kempen memboikot produk non bumiputera adalah jahat dan sangat tidak bertanggungjawab.

Kenyataan seperti inilah yang akan menimbulkan sakit hati dan perpecahan antara kaum di negara ini. Kenyataan ini jelas tentang sikap prejudis dan pemikiran jahat Guan Eng terhadap orang Melayu.

Kenyataan ini juga jelas menunjukkan sikap rasis sempit beliau yang sentiasa mempunyai sentimen dan persepsi negatif terhadap orang Melayu Islam. Guan Eng tidak wajar mengaitkan UMNO dan Pas.

Boikot atau tak itu adalah hak pengguna. Pengguna mempunyai kuasa penuh di dalam membuat keputusan tanpa dipengaruhi oleh sesiapa.

Kenyataaan tentang pengguna sepatutnya datang dari Menteri atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bukannya dari Kementerian Kewangan.

Tapi nampaknya Guan Eng membuat kenyataan yang dilihat rasis dan jahat bukannya tentang hak mutlak pengguna untuk membuat pilihan.

Guan Eng sepatutnya menghormati keputusan pengguna di dalam membuat pilihan. Sepatutnya Guan Eng selaku menteri Kabinet gembira kerana pengguna hari ini sudah tahu menggunakan hak mereka sebagai pengguna.

Sejak dari dulu kempen kesedaran pengguna dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan kini KPDNHEP nampaknya kempen tersebut dilihat sedang berhasil.

Guan Eng sepatutnya menghormati keputusan pengguna di dalam membuat pilihan.

Harus diingat bahawa kesedaran orang muslim berkaitan produk-produk halal ini setelah terlalu banyak produk-produk non muslim yang menggunakan nama-nama Islam dan Melayu demi mengaburi mata pengguna dalam mana produk-produk non bumi ini tidak menititik-beratkan soal kebersihan dan status halalnya.

Kesedaran ini setelah pengusaha-pengusaha non bumiputera ini menganiaya dan mengkhianati pengguna dengan mengetepikan soal halal dan kesucian demi keuntungan semata.

Namun Guan Eng berniat jahat mengaitkan UMNO dan Pas untuk menimbulkan kebencian kaum bukan bumiputera terhadap UMNO dan Pas. Sebenarnya kesuraman di dalam perniagaan dirasai oleh semua peniaga sama ada peniaga bumiputera atau bukan bumiputera.

Ia berpunca dari kelembapan ekonomi akibat kegagalan kerajaan PH di dalam menyediakan dasar bagi meningkatkan ekonomi negara.

Rakyat luar bandar kurang berbelanja kerana kejatuhan harga komoditi. Begitu juga rakyat di bandar kerana kos sara hidup yang meningkat. Jadi, kesuraman perniagaan disebabkan oleh kelemahan dasar ekonomi kerajaan dan kelemahan Kementerian Kewangan.

Kenyataan Guan Eng dengan menuduh UMNO dan Pas tidak lebih dari cubaan mengalih perhatian rakyat untuk menutup kelemahan beliau sebagai Menteri Kewangan yang jelas gagal.

Jika benar kempen beli barangan dan produk muslim atau boikot yang dilakukan oleh NGO dan orang persendirian dalam kalangan Melayu Islam berkaitan produk halal ini maka saya cukup yakin dengan kuasa yang ada pada majoriti Islam Melayu akan membuka satu lembaran baharu kepada produk-produk Muslim yang pasti halal dan secara tidak langsung bakal mengangkat ekonomi orang Muslim pada kedudukan yang baik dan bakal melahirkan lebih ramai pengusaha bumiputera yang mengutamakan ‘soal hukum halal haram’ setiap produk.

ISMAIL SABRI YAAKOB

Ketua Pembangkang

Naib Presiden UMNO

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.