SAYA tidak bersetuju dengan penulisan arkitek, Profesor Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi bertajuk Seni bina masjid ‘liberal’ yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 17 Julai lalu. Dalam artikel tersebut, beliau telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang mengelirukan. Natijahnya, penulisan beliau adalah cerminan bahana pemahaman Islam liberal walaupun beliau ingin membuktikan sebaliknya. 

Bantahan pertama, penulis harus lebih berhati-hati dalam menggunakan perkataan liberal untuk menggambarkan Islam. Apa yang cuba diertikan sebagai sisi liberal Islam itu tidak sama dengan maksud sebenar konsep liberalisme Barat.

Nilai keterbukaan Islam itu hanya boleh dinilai daripada wahyu dan sejarah Islam yang kaya. Tidak perlu kita ikut standard Barat ini kerana telah turun wahyu ratusan tahun lebih awal sebelum kelahiran idea-idea yang kononnya progresif ini.

Sebagai contoh, wanita Islam menikmati status sosial dan hak seperti pemilikan yang jauh lebih baik daripada Barat pada suatu masa dahulu. Datangnya Islam juga mengharamkan proses perhambaan baharu dan menggalakkan pembebasannya. Sebaliknya di tempat kelahiran konsep liberalisme ini pula, perhambaan diteruskan sehingga abad ke-19.

Jelaslah bahawa nilai keterbukaan Islam ini boleh dibuktikan dengan doktrin keagamaan dan sejarah, bukannya melalui pengamatan seni bina dan pelabelan liberal atau tidak semata-mata.

Bantahan kedua, penulis seolah-olah memperlekehkan kebanyakan Melayu-Islam konservatif seperti saya. Hakikatnya dek kerana masyarakat Melayu-Islam ini cukup konservatiflah yang menyebabkan majoriti daripada kita tidak ‘sanggup membunuh diri dengan bom pada tubuh badan’. Konservatif bukanlah sinonim untuk regresif (cenderung bergerak ke belakang), apatah lagi lawan untuk progresif.

Bantahan ketiga, penulisan Mohd. Tajuddin mengenai soal perpaduan jelas menunjukkan pemikiran sekular. Kita harus mengikis pandangan bahawa perpaduan hanya boleh tercapai dengan meninggalkan pegangan agama di pintu rumah ketika keluar untuk bermasyarakat.

Tidak adil mempertikaikan kesediaan orang Islam untuk bermasyarakat hanya kerana kita tidak menderma kepada pembinaan rumah ibadat agama lain. Hakikatnya, menyokong perbuatan syirik itu adalah haram. Begitu juga makan dari sumber yang haram dan minum arak.

Kesediaan bermasyarakat hanya boleh ditunjukkan melalui menghormati sensitiviti setiap kelompok itu. Jika isu menderma kepada pembinaan rumah ibadat agama lain adalah sesuatu yang sensitif, perlukah kita bangkitkan?

Bagaimanapun, pandangan Mohd. Tajuddin memiliki merit juga. Hakikatnya, budaya ilmu Islam di Malaysia masih lagi tidak sedinamik seperti zaman kegemilangan tamadun Melayu dahulu. Oleh sebab itu, masih terdapat golongan alim-alim kucing yang gagal merangkumkan dengan baik khazanah ilmu Islam supaya lebih mudah dihadam oleh masyarakat.

Sebagai akibat, ada ustaz-ustaz yang secara sedar ataupun tidak telah menyemai benih-benih kebencian terhadap individu. Sedangkan rasa hormat dan sayang kepada umat manusia itu adalah antara seruan utama Islam.

Realitinya kita sedang ditewaskan dalam kempen kebudayaan ilmu. Hari demi hari, semakin ramai cerdik pandai muda yang lebih tertarik dengan sudut pandang kebaratan daripada keislaman. Maka lahirlah individu yang cuba merasionalisasikan Islam melalui kayu ukur logik Barat dan bukan sebaliknya.

Bagi saya, Mohd. Tajuddin mungkin bukan ahli untuk menerangkan sifat keterbukaan Islam itu sendiri. Perkara ini harus diteliti melalui ayat al-Quran dan hadis, bukannya setakat interpretasi sejarah tempatan dan seni bina yang bebas daripada lunas keagamaan.

Artikel beliau sangat provokatif oleh sebab yang salah. Untuk rujukan yang lebih baik, saya ingin menjemput pembaca mendengar perbahasan Dr. Zara Faris dan membaca The House of Islam: A Global History karya Ed Husain.

Selepas meneliti kerja-kerja dua ahli akademik ini, saya sedar, cukup-cukuplah kita cuba mendefinisikan identiti keislaman dengan kosa kata asing. Islam itu tinggi dan tiada yang melebihi ketinggiannya.

ARMAN HUSEIN

Universiti Columbia, New York