Ramai pembaca media dalam talian 'melatah' dan menghentam produk Utusan Melayu (M) Berhad kerana mereka membaca satu-satu isu daripada perspektif yang disensasikan. Itulah akibatnya apabila pembaca hanya mendapatkan maklumat daripada media dalam talian sahaja tanpa menyemak isu sama di akhbar cetak yang menyiarkannya.

Dalam ruangan komen media dalam talian itu, saya dapat membaca satu sahaja ulasan yang rasional ditulis oleh ahli akademik, Dr. Mahadi J. Murat menyatakan, "Tidak ada apa salahnya Utusan Malaysia sampai perlu meminta maaf. Semua media dahulu pun begitu. Masa berubah, perubahan yang sesuai diperlukan. Buatlah segala dengan ilmu"

Saya percaya jika pembaca rajin membeli akhbar cetak produk Utusan Melayu (M) Berhad, mereka akan dapat membuat komen yang adil.

Selain itu, segelintir masyarakat di luar sana juga perlu berlaku adil dan jangan asyik menyalahkan pengurusan Utusan Melayu (M) Berhad yang mewarisi masalah terdahulu serta kesan daripada perubahan kerajaan. Kita harap mana-mana pihak yang menghentam Utusan Malaysia dengan pelbagai provokasi perlulah muhasabah diri. Jangan jadikan perolehan maklumat hanya daripada satu pihak sahaja.

RAKAN LAMA

Kuala Lumpur