Seperti rakyat Malaysia yang lain, saya amat berharap kerajaan membuat keputusan rasional dan tepat mengenai masa depan syarikat penerbangan negara tanpa melupakan sumbangan warga kerjanya sejak sekian lama.

Walaupun ramai pihak berpendapat Malaysia Airlines Berhad (MAB) perlu diswastakan, saya amat berharap ia tidak akan melibatkan pemberhentian pekerja. Pada masa sama, kerajaan perlu memastikan jenama MAB atau lebih dikenali sebagai MAS dikekalkan kerana ia adalah ikon kebanggaan negara.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan bersedia melepaskan pegangan ‘majoriti’ dalam MAB berasaskan dua syarat iaitu identiti syarikat penerbangan itu dikekalkan dan tiada pemberhentian pekerja yang ada ketika ini.

Bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM), Ismail Nasaruddin, turut memberikan pandangan serupa selain berharap kerajaan kekal menjadi pemegang kepentingan majoriti dalam MAB.

Ramai yang berpendapat, usaha pemulihan MAB tidak seharusnya melibatkan penswastaan penuh di samping kerajaan perlu mengekalkan MAB sebagai syarikat penerbangan nasional.

Baru-baru ini, wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin dilaporkan berkata, empat inisiatif pemulihan oleh kerajaan dengan kos hampir RM25 bilion termasuk pemberhentian 6,000 pekerja telah gagal.

Ini membuktikan pemberhentian pekerja bukanlah cara terbaik untuk memulihkan MAB. Sebarang rancangan perlu memberi keadilan kepada kakitangan MAB bagi mencerminkan penghargaan ke atas sumbangan mereka membina syarikat itu menjadi sebuah ikon negara. Mereka bukan sahaja bersama MAB ketika ia berada di puncak malahan sanggup mengharungi kepayahan apabila syarikat berhadapan pelbagai masalah.

Prinsip keadilan dan belas kasihan perlu dijadikan pedoman dalam usaha penstrukturan syarikat penerbangan nasional itu kerana sebelum ini ada dalam kakitangan yang diberhentikan berhadapan dengan pelbagai masalah kewangan akibat kesukaran mendapatkan pekerjaan baharu.

Saya percaya apa yang perlu dilakukan adalah merangka pelan pemulihan segera dan jangka panjang yang mampu membantu syarikat penerbangan negara itu mengukuhkan operasi dan kedudukan kewangannya untuk menghadapi cabaran masa kini dan pada masa hadapan.

Kerajaan mungkin boleh mendapatkan input daripada pihak pengurusan MAB dan pakar-pakar berkaitan termasuk ahli ekonomi dan kapten industri yang telah terbukti kehebatan mereka menyelamatkan syarikat-syarikat besar bermasalah sebelum ini. Kita harus ingat Malaysia tidak kurang pakar ekonomi dan tokoh korporat yang terkenal bukan sahaja di dalam negara tetapi juga tersohor di seluruh dunia.

Saya percaya MAB mampu kembali ke landasan yang betul dengan sokongan kuat daripada pakar-pakar ekonomi, kakitangan dan penumpang setia, pihak kerajaan dan swasta serta seluruh rakyat Malaysia.

Walaupun terdapat pelbagai cabaran dihadapi oleh syarikat, warga kerja MAB terus komited bekerja meskipun pelbagai keistimewaan dan faedah yang dinikmati sebelum ini telah tiada manakala bilangan anak kapal dalam setiap penerbangan turut dikurangkan.

MAB adalah antara beberapa syarikat penerbangan yang telah memenangi beberapa anugerah sebelum ini seperti penarafan lima bintang Skytrax dan anugerah Kru Kabin Terbaik Dunia.

Ia turut memenangi anugerah Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia sempena Anugerah Perjalanan Antarabangsa Persatuan Antarabangsa Penulis Perjalanan Kawasan Pasifik (PATWA), awal tahun ini. Anugerah tersebut adalah antara penghargaan utama dalam industri pelancongan.

Kita perlu sentiasa ingat, pesawat MAB bukan sahaja membantu menerbangkan penumpang ke destinasi masing-masing tetapi adalah pembawa bendera negara. Ia juga membantu mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang aman dan makmur.

MAB adalah ‘instrumen’ polisi amat penting dan ia juga pemacu utama ekonomi dan aset strategik yang tidak seharusnya diketepikan begitu sahaja.

TAN SRI LEE LAM THYE

Pengguna setia MAS