Wujud persoalan, apakah kita tidak bersedia dengan situasi luar jangka seperti ini dan tidak belajar dari peristiwa tsunami sebelum ini? Juga apakah ramalan dan persiapan oleh agensi berkaitan tidak cukup efektif sehingga kita gagal menanganinya dari awal? Apapun, kita tidak sewajarnya menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Mereka yang berkenaan telah melakukan tugas dengan sebaik-baiknya. Apa yang boleh dicadangkan adalah pihak terbabit perlu meningkatkan lagi kecekapan terutama dari segi penggunaan teknologi dengan lebih praktikal serta tidak mengambil mudah terhadap sebarang situasi.

Seiring perubahan masa, kita percaya dengan kemajuan teknologi satelit yang serba canggih, bencana alam dapat diramal dengan tepat dan terperinci. Maklumat dan segala data boleh terus sampai ke telefon pintar melalui aplikasi yang dibangunkan. Justeru amat merugikan jika teknologi yang telah dilaburkan jutaan ringgit tidak digunakan sebaik mungkin. Menjadi harapan agar pihak bertanggungjawab dapat memanfaatkan teknologi sedia ada dengan lebih berkesan demi kebajikan rakyat seluruhnya. Alasan terlepas pandang dalam memberi maklumat tepat tidak harus terjadi.

MOHD. SALLEH OSMAN

Putrajaya