Isu sedemikian tidak seharusnya diambil ringan apatah lagi bersifat menghina dan dengan sengaja mencetuskan kegelisahan dan keresahan masyarakat. Sikap tidak bertanggungjawab, lepas tangan atau menangguk di air keruh termasuklah untuk kepentingan politik seharusnya tidak dimaafkan, sebaliknya ketegasan undang-undang harus digunakan sebaik mungkin sebagai proses pendidikan malah pengajaran yang utama.

Mereka yang sengaja bermain ‘api’ tidak wajar dibiarkan terus melakukannya tanpa ada tindakan tegas untuk memastikan ia tidak mengulangi perbuatan sama. Namun begitu, proses pendidikan dan kefahaman antara budaya seharusnya dilakukan, dipupuk dan disemai secara berterusan. Terutama sekali dalam hal berkaitan meningkatkan kefahaman terhadap amalan agama, kepercayaan dan budaya antara kaum yang sesetengah pihak tidak faham atau gagal untuk melihatnya dari perspektif sewajarnya.

Amalan-amalan agama apa pun tidak harus dipersenda dan dijadikan bahan gurauan apatah lagi dengan terang-terang menyatakannya dalam bentuk tulisan, lakonan atau lontaran status media sosial. Buta budaya dan sejarah adalah penyakit zaman ini yang semakin menjadi-jadi. Lebih memburukkan keadaan ialah sikap perkauman melampau hingga melupakan faktor sejarah dan semangat kekeluargaan yang telah lama dibina.

Hal itu juga yang menjadi sebab mengapa bahan-bahan terlarang serta dianggap sensitif digunakan dalam isu status halal produk makanan sering berlaku dalam masyarakat. Sesetengah pihak ingin mengaut keuntungan dengan mudah tanpa melihat kesannya kepada orang lain.

Malangnya kempen membeli barang halal dari segi syariat bertukar kepada isu perkauman apabila dianggap mengancam perniagaan sesetengah pihak, begitu juga kempen-kempen lain dalam penggunaan produk yang berkait dengan hukum syarak mahu pun makanan di restoran yang tidak menghidangkan makanan halal atau mencurigakan. Adalah tidak wajar dianggap sebagai membeza-bezakan sesiapa tetapi lebih kepada pematuhan kepada keperluan agama masing-masing yang perlu dihormati.

MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar Kanan Universiti Sains Malaysia