Bakal mahasiswa perlu menjadikan pengorbanan ini sebagai satu suntikan semangat untuk menjadi graduan berbeza. Ibu bapa tentunya mengharapkan anak-anak mereka setelah tamat pengajian nanti memperoleh pekerjaan sesuai dengan kelayakan mereka. Ini memandangkan pengangguran dalam kalangan graduan bukanlah satu isu baharu. Berdasarkan Laporan Tinjauan Ekonomi 2018, kadar pengangguran bumiputera yang berpendidikan tertiari adalah sebanyak 4.6 peratus berbanding yang tiada pendidikan rasmi iaitu hanya 1.5 peratus. Kadar pengangguran dalam kalangan bumiputera seramai 129,999 orang ini disebabkan faktor terdapatnya jurang kemahiran.

Laporan tersebut juga menyatakan kerajaan telah membantu graduan mempersiapkan diri sebelum menceburi bidang pekerjaan. Seramai 125,986 graduan telah dibantu melalui pelbagai program. Di samping usaha pelbagai pihak, graduan sendiri haruslah berusaha memperbaiki diri agar lebih kompeten dan berbeza. Jangan hanya bersandarkan ranking universiti dan rekod cemerlang senior sebelum ini untuk diterima majikan.

Tempoh pengajian sepanjang di IPT perlu digunakan sebaik mungkin bagi mempersiapkan diri sebagai bakal pekerja berkualiti. Lengkapkan kemahiran yang diperlukan dalam bidang pekerjaan antaranya kemahiran konsepsual, kemanusiaan dan teknikal.

Justeru, kepada bakal mahasiswa, penuhkan bekalan ilmu, kemahiran dan bentuklah sikap positif sepanjang anda berada di institusi berkenaan. Jadilah graduan yang berbeza.

FAZLIN UTEH

Koordinator Institut Pendidikan NEO UiTM