Pada hemat penulis adalah penting kita menjadikan masjid sebagai platform utama dalam menjayakan hasrat murni ini, terutama perpaduan ummah yang sedang diusahakan UMNO dan Pas. Masjid bukan sahaja sebagai rumah ibadah, tetapi ia harus dilihat sebagai pusat aktiviti sosial umat Islam. Lihatlah pada sirah Rasulullah SAW yang menjadikan masjid bukan hanya sebagai tempat ibadah semata-mata tetapi juga sebagai pusat kegiatan dakwah Islam, pentadbiran dan penyatuan ummah.

Dalam konteks sejarah Melayu itu sendiri telah tercatat masjid sebagai pusat pembinaan umat Melayu-Islam seperti yang berlaku dalam Zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Malangnya, masjid telah lama disempitkan skop aktivitinya yang hanya dilihat sebagai institusi ibadah solat semata-mata. Ia tidak berkembang sejajar dengan ajaran Islam sebenarnya. Majid seharusnya memainkan peranan di dalam kehidupan masyarakat Islam sebagai sebuah institusi penyatuan dan membina kemajuan ummah. Ia sepatutnya selari dengan konsep melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Justeru, penulis melihat pentingnya para ulama atau ilmuwan Islam menjadi penggerak utama melaksana pelbagai aktiviti yang boleh memperkukuh roh perpaduan Melayu-Islam. Solat berjamaah mesti dijadikan tonggak atau asasnya yang utama.

Sekiranya semakin ramai umat Islam dari pelbagai latar belakang kehidupan berjemaah di masjid maka ia akan meningkatkan pentadbiran dan pengurusan masjid secara professional. Ciri profesionalisme inilah yang akan menjadikan masjid boleh berfungsi sebagai pusat penyatuan, pembangunan dan kecemerlangan ummah.

Sudah pasti antara sifat orang yang beriman itu ialah mengutamakan ikatan ukuwah Islamiah sesama saudara seakidahnya. Jika ia datang ke masjid tetap wataknya adalah watak pemecah belah umat maka kita khuatir ia tergolong dalam golongan orang munafik. Hakikatnya, memakmurkan masjid mampu memberikan impak positif bagi pembinaan masyarakat Islam, termasuk penyatuan Melayu-Islam itu sendiri.

MOHD AYOP ABD RAZID

Penganalisis sosiopolitik bebas