PELANTIKAN peguam, Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hangat diperkatakan malah dipertikaikan banyak pihak sekali gus mewarnai isu semasa negara pada masa ini. Pilihan Tun Dr. Mahathir Mohamad dikatakan tidak ikut prosedur, sepatutnya disahkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen terlebih dahulu selain tidak menepati janji manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lalu. Namun Dr. Mahathir mengatakan pelantikan itu adalah muktamad.

Sudah, sudah. Cukup, cukuplah! Bukan isu besar sangat pun atau boleh membawa kemudaratan kepada negara dan menjejaskan perpaduan rakyat pelbagai kaum atau mahu meletakkan sesuatu tidak pada tempat yang betul kerana kemaruk kuasa. Bukannya seperti isu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) atau pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT). Tidak payahlah diperdebatkan, dipertikaikan dan dipanjangkan lagi. Malah ada pihak yang mewujudkan petisyen, telah ditandatangani ribuan individu agar Latheefa meletak jawatan.

Diharapkan semua pihak berlapang dada dan fikiran. Benar kata bekas Pesuruhjaya SPRM, berikan sokongan dan kepercayaan kepada Latheefa menerajui SPRM bagi melaksanakan tugasnya dengan terbaik.

Hari ini kita belum nampak lagi kebaikan dan manfaat kepada rakyat dan negara dengan pelantikan Latheefa. Diyakini akan menjelma kebaikannya kelak.

JAMES WAK

Sijangkang, Selangor