Semua orang sedar, undi kaum majoriti menjadi penentu kepada kejayaan sesebuah parti untuk memerintah. Oleh demikian 'menawan' hati dan emosi kaum majoriti pada ketika ini amat penting. Pergeseran antara kaum, sama ada kecil atau besar sering menjadi 'resipi' yang ampuh bagi menyentuh emosi serta menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat negara ini sejak dari dahulu lagi.

Bukalah mata wahai rakyat Malaysia, selama ini kita hidup dengan aman damai, berusaha rapatkan jurang salah faham antara kaum puluhan tahun. Malah segala peluang untuk anasir-anasir yang sengaja mahu api perkauman disemarakkan demi kepentingan politik mereka ditutup serapat-rapatnya. Adakah kerana isu remeh segala usaha membina kepercayaan dan hubungan tersebut kita ketepikan begitu sahaja.

Pergeseran antara kaum yang kian meningkat kini terus menenggelamkan isu yang lebih penting seperti hala tuju negara, kemerosotan ekonomi, kos sara hidup yang kian meningkat, peluang pekerjaan yang kian menyusut, harga barangan yang terus tinggi. Isu-isu sedemikian sebenarnya yang perlu diberi perhatian sepenuhnya.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil dan pelbagai masalah kehidupan yang membelenggu rakyat pada hari ini, pihak yang berada di puncak kuasalah sepatutnya diberikan tekanan, bukan kita sebagai rakyat. Mereka telah diberikan mandat malah merayu-rayu untuk mendapatkannya pada pilihan raya yang lepas, oleh demikian sebagai rakyat kita seharusnya terus ‘menekan’ dan 'memaksa' mereka bekerja dengan lebih keras untuk memakmurkan negara.

RAKYAT MARHAEN

Kuala Lumpur