Semua negara perlu mengambil tindakan sama adil dalam mengatasi serta membendung sebarang elemen yang boleh melahirkan sikap kebencian, marah serta keganasan terhadap mana-mana pihak tanpa mengambil kira latar belakang, bangsa serta agama mangsa terlibat.

Jumaat lalu, seluruh dunia dikejutkan dengan insiden pembunuhan kejam 50 orang di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand oleh pengganas daripada golongan pelampau kulit putih.

Berpuluh orang lagi dilaporkan mengalami kecederaan termasuk kanak-kanak. Keganasan ini menunjukkan sikap diskriminasi dan prejudis terhadap umat Islam masih wujud dalam kalangan negara-negara Barat.

Sikap Islamophobia ini akan menyebabkan lebih ramai umat Islam hidup dalam keadaan takut serta bimbang dengan keselamatan diri mereka sekali gus menyukarkan sebarang usaha untuk membawa perpaduan masyarakat Barat dan Islam.

Negara-negara Barat perlu mengambil langkah lebih agresif dalam membendung sikap Islamophobia, sama seperti membendung sikap anti-Semitik. Semenjak tamatnya Perang Dunia Kedua pada 1945, banyak negara Barat mengambil langkah agresif bagi melindungi masyarakat Yahudi yang telah menjadi mangsa korban daripada menjadi mangsa golongan anti-Semitik.

Anti-Semitik bermaksud sebarang tindakan diskriminasi, prejudis serta keganasan yang dilakukan khusus kepada masyarakat berbangsa Yahudi.

Islamophobia pula merujuk kepada sebarang tindakan diskriminasi, prejudis serta keganasan terhadap masyarakat serta agama Islam itu sendiri. Islamophobia dan anti-Semitik mempunyai ciri-ciri hampir sama iaitu kedua-duanya memberi fokus terhadap perkara melibatkan diskriminasi, prejudis serta keganasan dilakukan terhadap mana-mana pihak berdasarkan bangsa serta agama mereka.

Maka adalah wajar sekiranya langkah hampir sama juga diambil bagi membendung kedua-dua perkara berkenaan daripada berterusan berlaku dalam kalangan negara-negara Barat. Malangnya, kebanyakan negara Barat memberi fokus utama terhadap perkara berkaitan anti-Semitik.

Pelbagai jenis undang-undang diwujudkan di negara Barat bagi menghentikan sebarang tindakan melibatkan anti-Semitik. Mana-mana pihak yang cuba membangkitkan isu berbaur anti-Semitik akan dikenakan tindakan undang-undang keras seperti denda tinggi serta hukuman penjara bertahun-tahun lamanya.

Pada awal 2019 ini juga, Amerika Syarikat (AS)melalui Dewan Perwakilan Rakyat telah meluluskan rang undang-undang khusus dalam membendung sikap atau tindakan anti-Semitik.

Ini jelas menunjukkan bahawa banyak perhatian diberikan terhadap isu melibatkan anti-Semitik berbanding isu Islamophobia dalam kalangan orang Barat.

Sekiranya negara-negara Barat benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan isu kemanusiaan dan keadilan manusia sejagat, mereka perlu memberi fokus sama terhadap isu Islamophobia yang sedang menular di negara mereka.

Tidak boleh wujud sebarang dwistandard kerana ia melibatkan isu jenayah kebencian terhadap kaum dan agama tertentu. Tindakan undang-undang keras perlu diambil terhadap mana-mana individu, kumpulan, ahli politik serta pemimpin yang berterusan menggunakan isu Islamophobia ini.

Isu melibatkan Islamophobia juga perlu dibawa ke peringkat antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengeluarkan kenyataan jelas dan lebih keras menentang sebarang tindak-tanduk yang menggambarkan Islamophobia.

Satu bentuk undang-undang peringkat antarabangsa perlu diwujudkan sama ada dalam bentuk protokol, perjanjian atau konvensyen yang mengharamkan sebarang bentuk sikap Islamophobia di semua negara.

PENSYARAH USIM

Negeri Sembilan