Pada 1 Mac lalu, sekumpulan kanak-kanak membuat bising dengan bercakap kuat sambil bergurau senda dan ketawa sesama mereka tanpa menghiraukan khatib yang sedang membaca khutbah.

Lebih mendukacitakan, perbuatan tersebut berlanjutan hingga mereka ketawa begitu kuat serta bersahut-sahutan meniru suara kartun Doraemon dan sesekali sengaja dibuat-buat suara pelat bercampur sengau sewaktu membaca surah al-Fatihah ketika solat.

Saya percaya ramai jemaah pada hari itu terpaksa menahan sabar serta tidak khusyuk ketika solat Jumaat. Di manakah peranan ahli jawatankuasa Surau Al-Falah untuk menegur dan menasihati kanak-kanak terbabit atau mereka begitu selesa di bahagian berdinding berhawa dingin hingga tidak pernah peduli terhadap ketenteraman jemaah di bahagian luar surau?

Begitu juga ibu bapa selain guru sekolah kanak-kanak terbabit, apakah mereka tidak pernah memberi nasihat mengenai adab ketika solat Jumaat?

Saya menyeru pegawai Jabatan Agama Islam Daerah Hulu Langat datang bersolat Jumaat di Surau Al-Falah untuk menyaksikan sendiri masalah yang berlaku sekali gus mengambil tindakan tegas.

Selain itu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga perlu memberikan perhatian sewajarnya.

MENAHAN SABAR

Pandan Jaya, Selangor