Ia ditambah dengan tindakan pimpinan tertinggi kerajaan yang sering mengherdik dan melabelkan pegawai-pegawai kerajaan sebagai pembelot dan penyokong kuat kerajaan terdahulu. Pegawai dan anggota perkhidmatan awam adalah jentera penting kepada kerajaan untuk memastikan semua dasar dan polisi dilaksanakan dengan jaya, justeru seharusnya jentera ini dijaga dengan baik dan diberikan motivasi.

Tanpa jentera kerajaan, mana mungkin negara ini boleh berjalan dengan lancar. Kenapa perlu dilabel dan dihentam setiap masa? Tidak sedarkah bahawa 1.6 juta anggota perkhidmatan awam juga merupakan antara pengundi yang terlibat meluahkan rasa tidak puas hati dengan kerajaan terdahulu sehingga akhirnya kerajaan tersebut jatuh tersungkur.

Prinsip penjawat awam adalah mudah. Kita berkhidmat untuk kerajaan. Nama pun pegawai kerajaan. Siapa government of the day maka dialah yang akan dipatuhi. Apa yang penting, kerajaan hari ini perlu menetapkan hala tuju dan matlamat negara dengan jelas. Dasar pendidikan, pembangunan, ekonomi, pelaburan, pertahanan, perpaduan rakyat dan sebagainya perlu jelas. Melalui cara itu, baharulah peranan dan tanggungjawab menyusun strategi serta implementasi dapat dilaksanakan pegawai kerajaan.

Kegelojohan berpolitik kebelakangan ini membuatkan hala tuju negara kabur. Ditambah pula dengan pemimpin-pemimpin kurang berpengalaman serta diburukkan lagi dengan mentaliti pembangkang yang masih menebal dalam kalangan menteri sedia ada menyukarkan negara ini bergerak.

Pengaruh atau campur tangan politik ini diburukkan lagi bilamana memegang jawatan seperti setiausaha politik, pegawai khas, setiausaha sulit, pegawai seranta dan pelbagai jawatan yang diwujudkan di pejabat menteri ini mula menunjukkan taring masing-masing. Lantikan politik bagi jawatan ini kebanyakannya tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terutama dari segi kelayakan asas akademik, namun jawatan yang disandang terlalu tinggi hingga ke taraf Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) hanya kerana membalas budi perjuangan politik kononnya.

Akibatnya, apabila menyandang jawatan dan duduk di pejabat menteri maka masing-masing semakin gila menyalahgunakan kuasa. Ketua-ketua jabatan diugut agar menuruti cakap dan perancangan mereka, khususnya dalam soal perolehan. Jika enggan maka mereka ini akan dikenakan tindakan ditukarkan ke jabatan lain.

Dalam isu lain pula, kontrak yang telah dianugerahkan kepada kontraktor ketika era kerajaan terdahulu disekat dan digantung pembayarannya. Ini semua dilakukan dengan tujuan memberi tekanan dan pada masa sama meminta komisien atau sumbangan jika kontraktor terbabit ingin meneruskan projek-projek terbabit.

Persaingan dalam mendapatkan kontrak-kontrak kerajaan menjadi semakin sukar. Ini kerana projek baharu masih belum ditawarkan manakala projek sedia ada yang telah melebihi 50 peratus berjalan dihentikan atau sengaja dilewat-lewatkan pembayaran. Akibatnya syarikat mengalami kerugian besar sehingga terpaksa memberhentikan pekerja mereka. Tidak sampai setahun memerintah, telah ada menteri yang begitu berani melibatkan anak-anak dalam mesyuarat perolehan, pegawai khas digelar ‘menteri kedua’, setiausaha politik ditangkap menerima hadiah malah telah ada pemerintah negeri yang menampakkan kekayaan membeli banglo bernilai jutaan ringgit secara tunai.

Apakah ini selari dengan perjuangan dan laungan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memperkasakan integriti dan memerangi rasuah? Apalah penting sangat menukar slogan ‘Saya yang menurut perintah’ kepada ‘Saya yang menjalankan amanah’ jika beginilah hala tuju kerajaan hari ini?

Saya yakin keseluruhan penjawat awam mahukan perubahan terutama memerangi rasuah dan menegakkan integriti. Semangat Malaysia Baharu yang diuar-uarkan pada permulaan pemerintahan, tidak disangka-sangka menjadi lebih teruk dan amat mengecewakan. Kami mahu berkhidmat kepada rakyat. Kami mahukan perubahan. Hentikanlah sandiwara politik, cengkaman politik dan politiking yang boleh menghancurkan negara tercinta.

JOHAN KAY ABDULLAH
Putrajaya