Luqman Hakim Abd. Malik

Setiap kali majlis ini bersidang, pasti ada cadangan yang dipersetujui untuk dilaksanakan serta-merta atau pun sekurang-kurangnya mendapat pertimbangan Jemaah Menteri untuk dilaksanakan. Tidak dinafikan, ada juga cadangan yang perlu diperhalusi dan mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan.

Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Bil 1/2018 telah memperakukan pelaksanaan Kad MY100 dan MY50 bagi tambang pengangkutan awam. Ia telah dipersetujui Jemaah Menteri pada 10 Oktober 2018 dan diumumkan dalam Bajet 2019 lalu. Pada 1 Januari 2019 ia mula digunakan.

Mesyuarat majlis tersebut, Bil 1/2019 pula mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengkaji beberapa item popular pengguna untuk disenaraikan sebagai barang kawalan. Ini kerana pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim 
Perayaan (SKHMP) diakui memberikan impak positif kepada pengguna. Mesyuarat sama juga bersetuju untuk memperluaskan program Food Bank Malaysia di bawah seliaan KPDNHEP ke semua institusi pengajian tinggi. Yayasan Foodbank Malaysia akan menggerakkan projek Food Bank Malaysia di setiap kampus di seluruh negara untuk membantu kumpulan mahasiswa pada kadar segera.

Selain itu, KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan bekerjasama untuk merangka program jualan barangan pengguna serta barangan segar yang akan diperluaskan ke seluruh negara dan dilaksanakan pada kadar kekerapan lebih banyak. Cadangan pemberian diskaun sebanyak 20 peratus bagi kadar tambang KTM Komuter juga telah dikemukakan dalam mesyuarat sama untuk persetujuan Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Dengan pelbagai inisiatif yang telah dirancang dan dilaksanakan, rakyat boleh menaruh keyakinan bahawa setiap keluhan mereka didengari dan kerajaan sentiasa berusaha mengatasinya. Sudah pasti dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang akan datang, lebih banyak inisiatif akan diumumkan.

LUQMAN HAKIM 
ABD. MALIK

Ketua Komunikasi 
Korporat KPDNHEP