KEJADIAN memecahkan cermin kereta dilakukan pembuli jalanan seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini amat membimbangkan para pengguna jalan raya terutama pemandu wanita. Rakaman video yang dirakamkan pemandu yang kebetulan 
ketika itu mempunyai perakam video (dashcam) merakamkan detik-detik cemas terbabit apabila dirinya terdedah 
kepada serangan, bukan 
hanya kenderaan. Pembuli jalanan tersebut telah pun dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman setahun penjara.

Secara sedar atau tidak, dashcam sebenarnya adalah satu alat yang amat berguna ketika situasi-situasi cemas ini berlaku. Penggunaan dashcam oleh pemandu tadi telah memudahkan polis mengesan pembuli jalanan tersebut dengan senang dan pantas.

Ekoran kejadian ini, saya berpendapat penggunaan dashcam adalah satu keperluan terutama kepada pemandu-pemandu wanita kerana mereka senang terdedah kepada kejadian jenayah seperti pembuli jalanan, kes ragut beg di dalam kereta, peras ugut atau langgar lari.

Dashcam adalah sejenis kamera yang membantu merakamkan insiden dalam perjalanan. Ia juga merupakan salah satu alat perlindungan semasa pemanduan. Antara fungsi-fungsi dashcam adalah rakaman tanpa henti pada sudut pemandangan hadapan, kiri kanan dan belakang kenderaan. Terdapat juga dashcam yang mempunyai kamera boleh merakam dari setiap sudut dalam kenderaan, juga secara automatik boleh menghantar gambar dan video (menggunakan 4G).

Kepentingan dashcam tidak dapat dinafikan membantu menyediakan ‘bahan bukti’ dalam segala kejadian yang berlaku sepanjang perjalanan. Semoga kejadian pembuli jalanan ini menjadi titik tolak kepada kita bahawa keselamatan diri semasa pemanduan adalah sangat penting dan tiada kompromi.

DR. ZURRIATI MOHD. ALI

Pensyarah Kanan

UiTM Johor.