Cadangan berkenaan juga harus disambut secara rasional ke arah satu penyatuan ummah apatah lagi sebagai persediaan ke arah mengembalikan kuasa politik orang Melayu yang semakin kritikal semenjak lebih setahun Pakatan Harapan berkuasa di peringkat kerajaan Pusat.

Secara realitinya bukanlah masalah besar khususnya kepada dua parti terbesar orang Melayu dan Islam iaitu UMNO dan Pas yang berbekalkan 56 kerusi Parlimen menyahut hasrat Dr. Mahathir demi memartabatkan kuasa politik Melayu kembali ke landasan asal. Namun yang menjadi halangan sebagai liabiliti ke arah usaha berkenaan tidak akan tercapai selagi DAP masih berpegang kepada konsep Malaysian Malaysia yang berprinsipkan kesamarataan sebagai roh perjuangan parti berkenaan.

Sekalipun situasi sekarang dilihat agak tertekan seakan-seakan meletakkan Dr. Mahathir sendiri dalam dilema sehingga meratap kepada cadangan sedemikian, maka janganlah pula wujud unsur ‘kesempatan politik sesat’ oleh segelintir pemimpin Melayu yang sanggup bekerjasama walaupun terpaksa menggadai prinsip demi survival kuasa politik. Perbuatan serta tindakan seperti ini perlu dikutuk sekeras-kerasnya.

RAHMAD ISAHAK

Aktivis politik & 
bekas ahli DAP