Pelantikannya diputuskan dalam mesyuarat APOSHO ke-34 di Guiyang, China Jumaat lalu. Lam Thye merupakan salah seorang tokoh berbangsa Cina yang dihormati di negara ini serta tidak pernah berprasangka buruk terhadap kaum-kaum lain.

Dalam setiap ceramahnya, Lam Thye sentiasa fokus menitipkan kepentingan penjagaan kesihatan dan keselamatan semata-mata, sukar mahu jumpa individu sepertinya pada hari ini.

Malangnya, sesetengah ahli politik yang sebangsa dengannya tidak memiliki sikap, semangat, jati diri dan kesedaran yang negara ini memiliki rakyat berbilang kaum.

Mereka menyifatkan orang lain semuanya tidak bagus dan boleh berkata apa sahaja apabila berada di atas pentas. Jika lebih ramai rakyat seperti Lam Thye yang sentiasa menjaga tutur kata, tidak menyentuh sensitiviti kaum lain, masyarakat kita pada hari ini pasti dapat hidup dalam keadaan lebih aman dan damai.

Bila ada sesetengah pemimpin sering mengeluarkan kenyataan yang menyakiti perasaan kaum lain, semua orang jadi resah dan pasti akan ada bertindak balas. Perbuatan memprovokasi, menghina serta merendah-rendahkan kaum lain merupakan sikap yang tidak matang, menunjukkan kesombongan diri serta budaya tidak sihat dalam negara.

ABD. RAZAK OSMAN

Sungai Petani, Kedah.