Pada hemah saya, dakwaan bahawa kakitangan awam mendapat layanan istimewa berdasarkan gaji bulanan serta kemudahan perkhidmatan yang mereka nikmati tidak tepat.

Gaji kakitangan awam di negara ini tidaklah lumayan jika dibandingkan dengan peningkatan harga barang dan perkhidmatan di negara ini.

Penjawat awam adalah dalam kalangan mereka yang menjalankan segala urusan pentadbiran negara setelah sesuatu akta atau dasar diluluskan melalui Majlis Parlimen dan Jemaah Menteri serta menteri yang berkaitan di kementerian masing-masing.

Penjawat awam menjalankan tugas tertakluk kepada punca kuasa serta peraturan yang berkuatkuasa.

Tugas mereka pula adalah berdasar Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang telah ditetapkan oleh Ketua Perkhidmatan masing-masing serta diberikan Indeks Pengukuran Prestasi sebagai petunjuk bagi mengukur pencapaian prestasi mereka dalam setiap tahun perkhidmatan.

Penambah baik sentiasa dilakukan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Sebagai contoh urusan pasport kini boleh disiapkan hanya satu jam berbanding enam bulan hasil inisiatif Jabatan Imigresen.

Penjawat awam dipilih bekerja berdasarkan kelayakan, merit serta kebolehan dan kepakaran. Gaji ditentukan oleh pihak berkuasa yang melantik berdasarkan kriteria tersebut.

Penjawat awam sepanjang masa perlu mematuhi peruntukan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam selain itu mereka akan sentiasa taat kepada Yang Di-Pertuan Agong, Negara dan Kerajaan.

Menyentuh berkaitan bayaran pencen, ia layak diterima setelah berkhidmat tanpa putus selama 30 tahun. Bayaran pencen penuh yang diterima hanyalah sekitar 60 % gaji pokok masing-masing.

Bayaran gratuiti pula adalah dibayar mengikut tempoh perkhidmatan serta berdasarkan gaji akhir yang mereka terima.

Bayaran ini hanya diterima sekali dalam perkhidmatan. Ia adalah merupakan sesuatu bayaran sebelum tinggalkan perkhidmatan awam.

Berkaitan elaun yang diterima ia adalah berbeza antara perkhidmatan bergantung kepada keperluan tugas masing-masing. Namun bagi elaun bantuan sewa rumah, elaun khidmat awam dan elaun sara hidup ia telah diselaraskan.

Berkaitan kuarters pula, bukan semua penjawat awam ditawarkan kuarters memandangkan bilangan kuarters yang terhad. Terdapat penjawat awam yang menyewa kediaman dengan kadar sewa yang tinggi. Keadaan ini turut membebankan mereka.

Penjawat awam juga terdedah ditukarkan tempat bertugas setiap lima tahun dan mereka perlu mencari rumah sewa baharu. Berkaitan Pinjaman rumah kerajaan yang didakwa mudah dan rendah faedahnya, kini tempoh pinjaman dilanjutkan sehingga 30 tahun melalui Lembaga Pinjaman Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Ia boleh dibuat sekali dalam perkhidmatan dan boleh dibuat lagi sekiranya pinjaman rumah pertama sudah dilangsaikan. Rumah yang dibeli melalui LPPSA harganya tiga kali ganda daripada harga rumah setelah pinjaman dilangsaikan termasuk insurans.

Bagi mengurang beban kewangan kerajaan bukanlah dengan hentikan pencen serta bayaran gratuiti. Ia boleh dibuat melalui pelbagai kaedah lain.

Contohnya melalui mengurangkan saiz perkhidmatan awam dan menyusun semua fungsi kementerian dan Jabatan secara berperingkat-peringkat. Tetapi ia tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.

YOSRI ABU MAHSIN

Putrajaya