Konsep syukur dan berterima kasih perlu diterap dalam diri anak-anak supaya mereka lebih menghargai.

Kebiasaannya sebelum tidur saya akan mengajak anak-anak untuk merenung kembali segala nikmat yang telah diperoleh pada hari tersebut.

Saya ingin kongsikan tiga tip untuk membudayakan amalan bersyukur kepada anak-anak.

Pertama, temanilah anak-anak ke tempat tidur mereka. Pastikan mereka dalam keadaan selesa dan sudah bersedia untuk tidur. Kedua, ajak mereka berbual.

Minta senaraikan dua atau tiga perkara yang telah mereka dapat pada hari ini dan kebaikan yang telah dilakukan.

Ketiga, sebagai ibu bapa, anda sebutkan semula kebaikan yang telah anak-anak nyatakan tadi. Ajarlah mereka untuk ucapkan terima kasih kepada Allah.

Mulakanlah rutin ini seawal mungkin. Biarkan mereka berasa seronok bermuhasabah diri. Ini akan dapat melatih mereka supaya sentiasa berasa beruntungnya kehidupan.

Sebagai ibu bapa kita perlulah sentiasa mengingatkan anak-anak tentang betapa besar nikmat kesyukuran yang telah Allah kurniakan. Ini akan menimbulkan rasa syukur, gembira dan bahagia.

SITI NORAFIZAH AB AZIZ

Kolej Komuniti Pasir Gudang