Meskipun niat dan tujuan kempen berkenaan baik iaitu mahu memperkasakan dan memperjuangkan ekonomi bumiputera tetapi kita harus juga melihat kesannya pada masa depan. Kita boleh cuba untuk mengubah orang Melayu supaya membeli produk hasil keluaran bumiputera. Namun bersediakah kita menghadapi dan mampukah berdikari untuk bersaing dengan peniaga-peniaga bukan bumiputera?

Mampukah kita membuka pasar raya yang serba-serbinya lengkap dengan barangan diperlukan para pengguna? Adakah kita mampu menyediakan modal mencecah ratusan malahan jutaan ringgit untuk memastikan kita boleh berjaya dalam bidang perniagaan? Atau sekadar mampu membuka pasar mini yang menawarkan produk cukup terhad? Peribahasa mengatakan, kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga.

Saya bukan mahu memperlekeh atau mengecilkan kemampuan bangsa sendiri tetapi kita kena berfikiran positif dan menghadapi realiti kehidupan. Kalau hanya pandai bercakap dan mengkritik tetapi hakikatnya tidak mampu untuk merealisasikan dan tidak begitu bersedia lagi, maka janganlah salahkan orang lain apabila gagal melaksanakannya. Kelemahan kita adalah keegoan tinggi dan suka menyalahkan orang lain.

Hakikatnya kita belum bersedia lagi dan belum begitu mahir untuk menceburi bidang perniagaan. Kita masih perlu diasah lagi serta dibimbing untuk memastikan persediaan ke arah itu tercapai. Rakyat pelbagai kaum juga masih mahu mempereratkan lagi perpaduan kerana kita masih memerlukan antara satu sama lain demi untuk memastikan negara kita mencapai matlamat sebagai sebuah negara maju, makmur dan aman damai.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN
Ampangan, Seremban