Semua orang tahu, Yadim pernah dipimpin oleh mereka yang cenderung politik bermula Yang Dipertua pertama, Allahyarham Tan Sri Syed Nasir hingga Yang Dipertua sekarang, Nik Omar Nik Ab. Aziz.

Semua orang tahu, Yadim adalah sebuah badan amanah yang ditubuhkan untuk tujuan penyelarasan dan pembinaan jaringan dakwah agar menjadi lebih tersusun dan berkesan.

Kritikan terbaharu Asyraf Wajdi mengenai apa yang sedang dilakukan oleh pengurusan Yadim juga membuktikan bahawa beliau jahil dalam hal membabitkan soal pentadbiran sebuah organisasi yang besar ini.

Sebagai seorang ahli akademik dan faham mengenai konsep pengurusan, Asyraf Wajdi tidak sepatutnya mengkritik tindakan pengurusan Yadim perbetulkan badan dakwah itu.

Kepemimpinan baharu Yadim mempunyai kaedah dan cara tersendiri untuk membina semula imej tidak berfungsi dengan baik dan berkesan.

Tentunya transformasi yang sedang dilaksanakan itu memerlukan sedikit perubahan, penyesuaian dan penambahbaikan. Proses sedemikian adalah lumrah dalam budaya organisasi.

Perubahan dan penambahan kakitangan bukanlah sesuatu yang tidak dibenarkan untuk berlaku, ia memang diperlukan untuk membolehkan transformasi berlangsung.

Sepatutnya Asyraf Wajdi memberikan peluang kepada pengurusan baharu Yadim untuk melakukan penambahbaikan, bukannya ‘membaiki labu’ seperti dibayangkan. Bukan bermakna Asyraf Wajdi atau sesiapa pun tidak dibenarkan mengkritik.

Kritikan membina memang diperlukan, bukannya kritikan yang menampakkan rasa marah, terkilan dan boleh menimbulkan persepsi tertentu.

Transformasi Yadim adalah untuk ‘menghilangkan’ imejnya yang sudah pudar dan hampir tergelincir dari landasan ‘dakwah’ akibat tindakan Asyraf Wajdi yang mengeksploitasikan peluang dan ruang ‘kepercayaan’ untuk menonjolkan diri dan memulihkan imejnya untuk kembali berpolitik.

Tidak menjadi kesalahan pengurusan baru Yadim untuk memperkuat modal insan, melantik kakitangan baharu berkelayakan dan berpengalaman bagi mengurus dinamika organisasi.

Dakwah masa kini memerlukan tenaga manusia boleh bekerja dan berfikiran strategik, bukan hanya pendakwah yang boleh ‘memuntahkan ilmu’ dalam kaedah beribadat semata-mata.

MOHD. SHAUKI MAJID
Pengarah Media Yadim