Pada masa sama, pemantauan ke atas kilang-kilang pengeluaran dan pemprosesan benih padi perlu dilakukan secara berterusan.

Ini penting supaya kualiti benih padi terjamin dan tiada unsur penyelewengan berlaku.

Impak besar benih padi haram yang berleluasa ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan petani malah mengancam bekalan makanan negara sekiranya tidak dibanteras segera.

Dalam isu ini, kerajaan tidak boleh menuding kesalahan kepada para petani tetapi punca utama masalah ini perlu dikaji secara menyeluruh.

Dukacita apabila mendengar keluhan segelintir petani yang mengakui tidak semua pembekal atau pengilang benih padi yang diiktiraf kerajaan semuanya berkualiti.

Malahan ada dalam kalangan mereka menghasilkan sendiri benih padi tidak sah bagi mengatasi masalah ini.

Saya menyambut baik cadangan kerajaan meminda Akta Benih Tanaman bagi mengatasi isu benih padi tidak sah ini.

Saya berharap dengan pindaan akta dan penubuhan Jawatankuasa Khas bagi menyiasat prestasi 9 syarikat swasta dapat menyelesaikan ketirisan dan penyalahgunaan benih tanaman yang berlaku di negara ini.

CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman