Pemantauan pihak kami mendapati banyak pengendali makanan di bazar Ramadan tidak memakai sarung tangan, apron dan penutup kepala. Pihak kami juga tertanya-tanya sama ada pekerja yang menyediakan makanan untuk jualan mendapat suntikan mencegah tifoid dan telah menghadiri kursus wajib mengenai cara-cara betul pengendalian makanan.

Kita perlu mempertimbangkan kemungkinan berlaku pencemaran makanan kerana disimpan pada suhu bilik di dalam periuk atau bekas makanan melebihi tempoh empat jam (dengan andaian setiap gerai beroperasi dari pukul 3 petang hingga 7 malam) dan turut terjadi pencemaran silang daripada penggunaan hanya beberapa senduk dan penyepit untuk makanan berbeza.

Oleh sebab itu, tidak mengejutkan sampel makanan yang dikumpulkan daripada beberapa gerai sebelum ini menunjukkan pencemaran bakteria berbahaya seperti E.Coli dan Salmonella. Kami juga bimbang laporan berita setiap tahun mengenai bakteria pembawa penyakit ditemui dalam sampel makanan yang diambil secara rawak dari bazar Ramadan. Gerai berkenaan terletak di kawasan terbuka yang terdedah kepada debu dan menarik perhatian lalat.

Dalam satu kajian diterbitkan pada 2017, didapati 42 peratus sampel yang diambil dari gerai makanan di Kelantan mengandungi bakteria E.Coli, Salmonella dan Staphylococcus. Berlaku juga pencemaran terhadap daging dimasak yang dikatakan kemungkinan berpunca daripada pencemaran silang dan pengendalian makanan secara tidak bersih.

Kebimbangan pencemaran ini bukan hanya melibatkan makanan dimasak yang terbiar pada suhu bilik dalam tempoh lama tetapi juga sayur-sayuran yang dijual mentah sebagai ulam dan daging mentah yang diperap untuk dijadikan ayam percik dan sate.

Kami menggesa Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mendedahkan kepada orang awam berhubung langkah-langkah yang sedang diambil untuk memastikan makanan dijual di bazar Ramadan adalah selamat untuk dimakan.

Pemeriksaan perlu dijalankan di seluruh negara untuk memastikan pengendali makanan mematuhi undang-undang berkaitan penyediaan makanan secara betul. Tindakan perlu diambil untuk mengelak tersebar wabak penyakit di Malaysia.

S.M. MOHAMED IDRIS
Presiden Persatuan Pengguna P. Pinang