Ia merujuk kepada penubuhan negara haram Israel yang diisytiharkan secara rasminya pada 15 Mei 1948. Peristiwa itu adalah rentetan daripada perancangan jahat Yahudi Zionis untuk melaksanakan penjajahan terancang ke atas tanah dan penduduk asal negara Palestin yang berdaulat.

Dengan bantuan daripada British dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Palestin berjaya dijajah secara sistematik dan akhirnya menjadi asas kepada penubuhan negara haram Israel.

Penjajahan secara terang-terangan dan mencabuli hak asasi penduduk Palestin tersebut dilihat dengan jelas oleh dunia antarabangsa, namun disebabkan lemahnya kesatuan antara umat Islam, pencabulan dan pemerkosaan ini direstui secara terbuka tanpa sebarang bantahan.

Lebih malang lagi apabila negara-negara Islam lain menjadi bacul dan tunduk dengan tekanan antarabangsa dan PBB. Maka wajarlah bagi penduduk Palestin dan umat Islam seluruhnya meratapi tarikh Hari Nakba 1948 ini sebagai titik hitam bagi perpecahan umat Islam.

Negara yang dahulunya luas terbentang serta subur dan makmur bertukar menjadi padang jarak padang terkukur, manakala rakyatnya pula terpenjara di dalam tanahnya sendiri. Penderitaan ditanggung oleh penduduk Palestin tiada contoh lain di dunia ini, lantaran ia tidak pernah berlaku di negara lain dengan penyaksian pencabulan terang-terangan oleh masyarakat dunia tetapi tiada tindakan pembelaan diterima, hatta dari negara-negara Islam. Alangkah malangnya kamu wahai Palestin!

Ironinya, peringatan Hari Nakba 1948 tahun ini jatuh pada bulan Ramadan di mana semua umat Islam seluruh dunia sibuk dengan urusan ibadah mereka, seolah-olah pembelaan Palestin ini bukan sebahagian daripada tuntutan ibadah yang utama.

Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” (al-Baqarah ayat 183). Nilai ketakwaan yang ditawarkan oleh Allah SWT adalah manifestasi daripada kehambaan yang jitu kepada-Nya dalam melaksanakan ibadah puasa Ramadan. Namun apakah kaitannya dengan isu Palestin? Persoalan yang mungkin timbul, adakah nilai ketakwaan yang terbit dalam diri tersebut mampu diterjemahkan seiring dengan kesungguhan dan keprihatinan dalam memperjuangkan isu pembebasan Palestin daripada cengkaman Yahudi Zionis oleh umat Islam seluruh dunia?

Pastinya Ramadan mampu menjadi titik tolak kepada perubahan menyeluruh umat Islam dalam membela nasib umat Islam yang tertindas, khususnya di Palestin. Ganjaran nilai ketakwaan yang diburu oleh semua umat Islam di bulan Ramadan pastinya lebih bernilai sekiranya disulami dengan usaha pembelaan terhadap nasib penduduk Palestin.

Ramadan mengajar kita merasai kesengsaraan dan penderitaan umat Islam yang lain. Sewajarnya atas semangat keprihatinan ini, umat Islam seluruh dunia perlu menjadikan Ramadan sebagai titik permulaan kepada usaha ini.

Antara tindakan menyeluruh yang boleh dilaksanakan melalui kesatuan umat Islam adalah memboikot semua produk keluaran Yahudi Zionis dan sekutunya, memperjuangkan hak asasi manusia penduduk Palestin dalam media sosial, mendedahkan kekejaman dan penindasan Yahudi Zionis dan menggerakkan kempen secara holistik bagi menyedarkan masyarakat dunia tentang isu Palestin serta terlibat menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.

Maka atas dasar kasih kepada saudara-saudara kita di Palestin, umat Islam seharusnya menginsafi segala yang telah berlaku, memperkuatkan jati diri umat Islam dan seterusnya bertindak menyokong dan mendukung segala usaha yang dilakukan bagi membela umat Islam di Palestin.

Apalah nilai yang ada pada kesempurnaan ibadah puasa, solat malam dan panjangnya bacaan al-Quran, jika pada masa sama kita membiarkan saudara seagama kebuluran tanpa makanan dan mengharungi kematian yang silih berganti?

DR. MOHD. ASHROF ZAKI YAAKOB
UiTM Shah Alam, Selangor