Baru-baru ini, sebuah agensi berita asing menyiarkan laporan bilangan pelajar di Singapura yang mendapatkan bantuan ahli psikiatri semakin bertambah ketika mereka bergelut mengatasi tekanan berterusan untuk cemerlang dalam akademik.

Kanak-kanak di republik itu mengalami tekanan kerana waktu persekolahan yang panjang, kerja rumah banyak dan didesak ibu bapa mengikuti tuisyen persendirian sehingga menyebabkan ada pelajar terdorong untuk membunuh diri.

Dalam usaha mengurangkan tekanan di sekolah, Singapura dilaporkan telah memulakan pembaharuan yang akan memansuhkan beberapa ujian akademik bagi menyeimbangkan keseronokan belajar dengan cemerlang dalam peperiksaan.

Kisah sebegini harus dijadikan iktibar oleh Kementerian Pendidikan. Jika Singapura berusaha mengubah kaedah pendidikan supaya menjadi lebih menyeronokkan, maka Malaysia sewajarnya melakukan perkara sama.

Buang jauh-jauh budaya bidang pendidikan di Malaysia sekarang yang melihat pembelajaran sama ada di sekolah atau IPT menyerupai perlumbaan untuk menentukan siapa yang terhebat.

Ibu bapa perlu menghentikan budaya suka menghebahkan dalam media sosial kejayaan anak masing-masing.

Anak-anak sepatutnya diberi peluang untuk menikmati fasa-fasa dalam kitaran hidup mereka secara berperingkat-peringkat. Kita juga perlu memberi mereka peluang untuk bermain sama seperti rakan-rakan seusia. Saya teringat tulisan penulis Australia, Lucy Clark bertajuk Beautiful Failures: How the Quest for Success is Harming Our Kids yang mengulas isu keghairahan ibu bapa untuk melihat anak-anak cemerlang di sekolah sehingga menyebabkan kanak-kanak itu tidak lagi gembira.

Menurut Clark, desakan ibu supaya anak-anak cemerlang dalam peperiksaan pada penghujung 12 tahun persekolahan menyebabkan kanak-kanak berkenaan terlepas banyak perkara indah dan menarik dalam kehidupan mereka. Oleh itu, kegembiraan dan keseronokan perlulah dikembalikan dalam kehidupan pelajar.

BAKOR LAMBOK

Kuala Lumpur