Sekiranya pelajar dapat dilatih dari peringkat awal di universiti untuk berdisiplin terhadap setiap wang perbelanjaan, mereka dapat menjadi insan yang pandai menguruskan kewangan apabila sudah bekerja dan berkeluarga kelak. Sering kali kita didedahkan dengan masalah beban hutang yang dihadapi oleh golongan muda

Sekiranya masalah ini tidak diatasi dengan baik, golongan muda dalam negara kita akan menghadapi masalah hutang yang serius hingga boleh menjejaskan masa depan mereka.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya golongan muda khususnya pelajar universiti mengamalkan tatacara ataupun tip untuk berjimat dan bijak berbelanja

Antara yang boleh dikongsi adalah tidak berbelanja terlalu banyak membeli buku-buku kerana mereka boleh menggunakan kemudahan di perpustakaan yang ada di setiap universiti bagi mendapatkan segala jenis bahan bacaan yang diingini

Para pelajar juga disaran menggunakan segala kemudahan pengangkutan awam yang disediakan oleh pihak universiti bagi menjimatkan wang minyak dan wang penyelenggaraan kenderaan persendirian. Banyak universiti menyediakan perkhidmatan bas untuk membantu membawa pelajar ke kelas.

Para pelajar juga disaran sentiasa membawa dan menggunakan kad pelajar untuk mendapatkan apa-apa jenis kemudahan yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka. Terdapat kedai-kedai buku dan alat tulis yang memberikan potongan istimewa kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). Mereka juga boleh menggunakan kad pelajar untuk mendapatkan potongan diskaun menaiki pengangkutan awam.

Sekiranya pihak universiti menyediakan kemudahan asrama, pelajar dinasihatkan tinggal di situ kerana bayaran yang disediakan adalah lebih berpatutan berbanding tinggal di rumah atau bilik sewa di luar kampus. Sekiranya ingin menyewa rumah atau bilik di luar kampus, mereka disaran berkongsi kemudahan terbabit dengan pelajar lain

Ini bagi mengurangkan kos sewaan serta menjamin keselamatan diri mereka ketika tinggal di luar kampus. Pelajar juga disaran mencari kerja sampingan atau berniaga secara kecil-kecilan supaya dapat menjana sedikit pendapatan buat diri mereka di samping menimba pengalaman bekerja. Namun mereka perlu memastikan kerja sampingan mereka tidak sesekali mengganggu proses pembelajaran

Pelajar juga harus mengelak daripada terlibat dengan mana-mana skim cepat kaya kerana ia berisiko tinggi serta mengundang bahaya buat diri mereka. Jika terdapat kemudahan membasuh pakaian di asrama atau di rumah sewa, mereka disaran basuh baju sendiri serta elak daripada menghantar ke kedai dobi atau menggunakan mesin pencuci berbayar

Terdapat juga alatan atau perkakasan belajar yang boleh dikongsi tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar seperti mesin pencetak atau pengimbas. Pelajar juga disaran membeli komputer yang dapat memenuhi keperluan sahaja dan bukan canggih semata-mata mahu memenuhi kehendak.

Sebagai seorang pelajar yang rata-rata belum mempunyai pendapatan sendiri, mereka disaran membeli telefon pintar yang tidak terlalu mahal. Memiliki telefon pintar tidak terlalu mahal juga dapat mengelak perhatian penjenayah terhadap diri mereka.

Dari aspek pakaian pula, cukuplah sekadar membeli mengikut kadar sepatutnya

Para pelajar tidak perlu membazir wang membeli pakaian yang mahal serta dalam kuantiti banyak. Perlu ingat, universiti adalah tempat untuk belajar bukannya berfesyen serta memperagakan pakaian. Jika terdapat wang lebih, mereka disaran menyimpannya di dalam bank atau mana-mana pelaburan amanah saham yang telah diiktiraf oleh kerajaan supaya selamat di samping dapat menambah simpanan masing-masing melalui dividen.

DR. MUZAFFAR
 SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam 
Malaysia (USIM)