Memang tidak dinafikan, kos pembinaan secara keseluruhan menurun, tetapi perbandingan ini tidak boleh dilakukan secara terus kerana ia bukanlah apple-to-apple comparison atau perbandingan yang setara.

Kos ECRL pada 2016 adalah RM65.5 bilion manakala setelah rundingan, kos berkurangan kepada RM44 bilion. Namun, bilangan stesen semakin sedikit dari 28 kepada hanya 20 buah.

Ini bermakna kos setiap stesen secara kasar pada 2016 adalah RM2.3 bilion sebuah. Kos setiap stesen pada 2019 pula adalah RM2.2 bilion sebuah. Pengiraan ini menunjukkan kos pembinaan setiap stesen pada 2016 dan 2019 adalah hampir sama.

Selain itu, lapan stesen yang dikurangkan sebenarnya memberikan impak negatif kepada perkembangan ekonomi di kawasan tersebut terutama bandar-bandar di Kelantan serta Bentong, Pahang. Stesen Kerteh, yang menjadi hab minyak dan gas turut terkeluar daripada senarai laluan baharu ECRL.

Pada 2016, kerajaan Malaysia mengusulkan untuk menanggung kos secara keseluruhan. Pada 2019, perjanjian usaha sama terbaharu tidak meneruskan usul itu sebaliknya berasaskan nisbah 50:50 antara kerajaan Malaysia menerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan syarikat China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) .

Dikhabarkan bahawa perkongsian keuntungan adalah 80:20 antara MRL dan CCCC. Adakah keadaan ini umpama menjual aset negara kepada China seperti dimomokkan PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)?

Usaha sama dan perkongsian keuntungan ini sebenarnya perlu diteliti dengan mendalam. Pada saat PH menggunakan alasan menjaga alam sekitar kerana laluan baharu tidak melalui Rabung Kuarza Genting Klang di Gombak, rakyat Malaysia harus melihat kepada struktur geologi dan taburan mineral di Malaysia. Berdasarkan kajian kami, laluan menuju selatan ke arah Negeri Sembilan adalah kawasan perlombongan utama sumber mineral.

Terdapat dua kawasan di Negeri Sembilan yang mempunyai simpanan emas utama. Adakah CCCC bakal membawa pulang keuntungan daripada emas yang diperoleh? Adakah CCCC akan mendapat 50 peratus daripada sumber emas berdasarkan perjanjian usaha sama atau 20 peratus daripada sumber logam berharga itu melalui perkongsian keuntungan?

Persoalan-persoalan sebegini perlu dijawab oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Adakah kuarza yang telah pun disentuh dan ditarah sewaktu pembinaan Lebuh Raya Karak lebih bernilai daripada sumber hasil bumi negara seperti emas?

Kita harap kerajaan PH berhenti memberikan alasan-alasan yang mengelirukan rakyat. Sememangnya rakyat bijak menilai dan mencari fakta sebenar. Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) akan terus menyalurkan fakta sebenar kepada rakyat agar tidak terus tertipu dengan pusingan-U dan alasan PH!

SHAHIR ADNAN

Ketua Pemuda Ikatan yang juga pakar geologi