Rakyat Malaysia tidak sepatutnya melakukan jenayah secara tiba-tiba kerana ia boleh membawa kepada akibat yang serius termasuk menyebabkan kecederaan parah dan kematian.

Dalam insiden terbaru Sabtu lepas (10 Ogos), Syed Muhammad Daniel, 27, meninggal dunia di Pusat Perubatan Nilai pada hari yang sama selepas perbalahan yang menyaksikan beliau didakwa dilanggar dan tersepit di antara kereta suspek dan pembahagi jalan.

Siasatan awal menunjukkan pasangan suami isteri yang merupakan suspek dan mangsa telah terlibat dalam perbalahan selepas kenderaan mereka terlibat dalam kemalangan berhampiran plaza tol Sungai Besi (selatan). Polis telah menahan pasangan suami isteri tersebut dan mereka direman sehingga 17 Ogos.

Insiden itu menunjukkan dengan jelas bagaimana nyawa boleh melayang hanya kerana tindakan terburu-buru.

Kemalangan atau pelbagai insiden kecil boleh berlaku tetapi kita tidak boleh membiarkan diri dipengaruhi emosi. Sekiranya kita tidak dapat mengawal emosi, ia boleh menyebabkan keganasan jalan raya yang boleh berakhir dengan kematian atau hukuman penjara seperti apa yang berlaku dalam insiden terbaru.

Kita harus menjadikan kejadian ini sebagai titik fokus untuk semua orang melihat keganasan di jalan raya dari perspektif kesihatan mental dan pencegahan jenayah.

Jenayah secara tiba-tiba ini biasanya dilakukan tanpa niat jenayah dan pada kebanyakan masa, ia melibatkan mereka yang tidak mempunyai rekod jenayah. Walau bagaimanapun, punca yang mencetuskan jenayah sedemikian boleh dicegah dan kita harus melancarkan kempen kesedaran serta mempromosi kesihatan mental yang baik untuk membantu masyarakat mengawal kemarahan, yang juga merupakan masalah kesihatan mental.

Apabila berlaku kejadian buli di jalan raya, terdapat beberapa faktor yang menyumbang seperti sifat pro-agresif atau agresif; emosi kedua-dua pihak dan persepsi bahawa hak mereka telah dicerobohi.

Pembuli juga mengharapkan sesuatu termasuk kepuasan apabila mangsa mengalami kecederaan.

Memandangkan terdapat pelbagai penyebab tindakan sedemikian, mereka yang terlibat dalam insiden di jalan raya perlu sentiasa bertenang dan mengelakkan konfrontasi. Mereka yang mengalami tekanan lebih cenderung untuk bertindak balas secara agresif dan jarang mengambil kira keadaan orang lain. Secara ringkas, pembuli tidak mempunyai empati terhadap mangsa mereka.

Kes pembuli jalan raya semakin teruk berdasarkan kekerapan dan tahap kecederaan yang dialami mangsa atau kerosakan barang kepunyaan mereka.

Saya secara konsisten telah mengutarakan masalah kesihatan mental rakyat Malaysia dan telah mencadangkan pelbagai penyelesaian dan langkah pencegahan.

Semua pihak berkepentingan perlu mengambil langkah segera untuk menangani masalah kesihatan mental kerana ia boleh diibaratkan seperti bom jangka yang akhirnya akan meletup.

Kita telah melihat banyak insiden tindakan terburu-buru ini pada masa lepas dan ia turut melibatkan kematian kanak-kanak dan jiran hanya kerana isu kecil.

Beban kerja dan peningkatan kos sara hidup mampu meningkatkan tahap tekanan yang boleh mencetuskan tindakan terburu-buru ini yang boleh membawa kepada insiden yang serius.

Kita perlu mengkaji dan membangunkan penyelesaian komprehensif untuk membantu majikan dan pekerja menangani masalah kesihatan mental di dalam dan di luar tempat kerja mereka secara sistematik.

Kementerian Kesihatan harus bekerjasama dengan universiti awam dan swasta, pengamal kesihatan pekerjaan dan pakar kesihatan mental untuk membantu menangani masalah ini dan mencari penyelesaian termasuk:

i) Membangunkan modul ‘Pertolongan Cemas Psikologi’ dalaman untuk membantu majikan dan pekerja menyediakan bantuan awal kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental di tempat kerja

ii) Melatih lebih ramai individu dalam bidang kaunseling supaya mereka yang mengalami masalah kesihatan mental boleh dikenal pasti dan dibantu di peringkat awal

iii) Membentuk majikan dan pekerja yang mampu membantu dan merujuk pekerja bermasalah kepada kaunselor, ahli psikologi dan pakar psikiatri agar mereka boleh mendapatkan rawatan yang sewajarnya

iv) Memudahkan pertemuan dengan kaunselor dan pakar psikiatri melalui kemudahan klinik kesihatan awam

v) Membangunkan modul pengurusan kemarahan yang boleh membantu mengurangkan insiden jenayah secara tiba-tiba.

Kita memerlukan tindakan segera untuk mencegah insiden yang serupa daripada berulang. Kita perlu sentiasa proaktif dan bukannya reaktif dalam semua pendekatan pencegahan jenayah yang kita ingin laksanakan.

Tan Sri Lee Lam Thye

Naib Pengerusi Kanan

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)