PERUBAHAN iklim global dan krisis alam sekitar bukan lagi isu pinggiran yang hanya dibincangkan di persidangan antarabangsa, sebaliknya sudah menjadi realiti yang memberi kesan kepada kehidupan manusia.
Kenaikan suhu, cuaca ekstrem dan penyusutan sumber asli menuntut tindakan yang lebih konkrit serta tersusun.
Dalam konteks ini, institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia memikul tanggungjawab yang lebih besar daripada sekadar melahirkan graduan.
Universiti kini berperanan sebagai pemangkin perubahan sosial dengan menterjemahkan konsep kampus lestari daripada wacana kepada amalan fizikal dan budaya.
Sebagai ekosistem kecil yang menghimpunkan ribuan penuntut, kakitangan dan pelawat, universiti beroperasi hampir seperti sebuah bandar kecil.
Justeru, pengurusan tenaga, air dan sisa di kampus memberi kesan langsung kepada alam sekitar. Kesedaran ini mendorong IPT menjadikan kampus sebagai makmal hidup bagi menguji dan melaksanakan penyelesaian berkaitan kelestarian.
Pengurusan tenaga dan prasarana fizikal menjadi antara ukuran penting dalam menilai komitmen kelestarian sesebuah universiti.
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), misalnya, memperkukuh usaha tersebut menerusi Pusat Pengurusan Tenaga dan Kampus Lestari. Antara langkah dilaksanakan termasuk audit tenaga secara berkala, pemantauan penggunaan elektrik, penggunaan sistem pencahayaan cekap tenaga serta perancangan tenaga boleh baharu secara berperingkat.
Kemudahan kenderaan mesra alam dan pengangkutan jarak dekat turut membantu mengurangkan jejak karbon operasi harian.
Universiti Putra Malaysia (UPM) pula memanfaatkan kawasan kampus dengan mengekalkan zon hijau, pertanian mampan dan hutan simpan sebagai penyerap karbon semula jadi.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui rangka kerja kampus rendah karbon turut mengintegrasikan teknologi grid pintar dan reka bentuk bangunan hijau bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Kekuatan utama IPT terletak pada keupayaan penyelidikan dan pembangunan. Menerusi pendekatan makmal hidup, kampus boleh menjadi medan menguji inovasi bagi menangani masalah alam sekitar setempat.
Di UniMAP, Pusat Penyelidikan Agroteknologi di Kampus Uniciti Alam, Sungai Chuchuh, memainkan peranan dalam memajukan teknologi pertanian mampan. Sisa makanan kafetaria dan bahan organik kampus pula boleh diolah menjadi baja kompos, sekali gus menyokong amalan ekonomi kitaran.
Universiti Malaya (UM) turut melaksanakan kempen sifar sisa yang memberi tumpuan kepada pengurangan sisa organik ke tapak pelupusan melalui pengkomposan dan pencernaan anaerobik. Universiti Sains Malaysia (USM) pula terus memperkukuh agenda kelestarian menerusi gagasan Kampus Sejahtera dan Pusat Kajian Sains dan Pengajian Kelestarian.
Usaha kelestarian memerlukan dasar institusi yang kukuh dan hala tuju yang jelas. IPT kini semakin memberi perhatian kepada pelan jangka panjang yang diselaraskan dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta sasaran pelepasan karbon sifar bersih negara.
Pelan UniMAP Lestari 2030, misalnya, merangkumi pengurusan infrastruktur, pentadbiran mesra alam dan penerapan kelestarian dalam kurikulum. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula menerusi Kerangka Akademik Sejahtera menggabungkan nilai ekologi, kerohanian dan kemanusiaan dalam struktur organisasi serta pengajaran.
Penglibatan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam usaha kecekapan tenaga, air dan pemuliharaan biodiversiti turut menunjukkan dasar kelestarian boleh diterjemahkan dalam operasi harian universiti.
Namun, infrastruktur dan dasar sahaja tidak mencukupi tanpa perubahan tingkah laku. Larangan plastik sekali guna, pengasingan sisa di kolej kediaman, pembersihan sungai dan penanaman pokok perlu dijadikan sebahagian daripada pengalaman mahasiswa.
Melalui pembudayaan ini, graduan bukan sahaja membawa pulang kelayakan akademik tetapi turut memiliki kesedaran ekologi yang penting untuk memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan. –UTUSAN
Profesor Madya Dr. Irnis Azura Zakarya
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)











