PEMERGIAN Datuk V.L. Kandan, ahli politik veteran dan peguam terkenal pada usia 89 tahun pada 15 September lalu, meninggalkan legasi besar kepada MIC, khususnya dalam pembangunan sayap Pemuda serta perjuangan membela masyarakat India.
Adik kepada mendiang Presiden MIC keenam, Tan Sri Manickavasagam, itu membesar dalam keluarga Vengadaselam Subbamal yang pernah bekerja di Ladang Raja Musa, Kuala Selangor, sebelum berpindah ke Klang untuk mengusahakan kedai runcit.
Kandan kemudian menerima latihan perguruan di Britain pada 1950-an dan berkhidmat di Sekolah Tinggi Kajang selepas pulang ke tanah air.
Menurut anak perempuannya, Shaguntala, semangat mendidik kekal dalam diri bapanya hingga akhir hayat.
Beliau sering mengingatkan pendidikan adab perlu bermula di rumah dan diperkukuh di sekolah.
Bekas pelajarnya, Sumitta Devi Panirselvam, yang memperoleh 7A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ketika bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Raja Musa, turut mengenang kesungguhan Kandan melawat kawasan itu serta menjanjikan bantuan kepada pelajar cemerlang untuk meneruskan pengajian.
Selepas mendirikan rumah tangga dengan Datin Vijaya, Kandan melanjutkan pengajian undang-undang di United Kingdom (UK). Sekembalinya ke Malaysia, beliau menubuhkan firma Shearn Delamore & Co dan mengkhusus dalam undang-undang harta intelektual.
Dalam politik, beliau menjadi tonggak penting Pemuda MIC apabila memimpin sayap itu pada 1976. Bekas Setiausaha Pemuda MIC, R. Masilamani, menyifatkan Kandan sebagai pemimpin yang membentuk briged lebih berdisiplin serta memperkenalkan seminar latihan kepimpinan menerusi program MIC Youth Transformation Seminars.
Ketua Cawangan MIC Kampung Kandan Dalam, Manavalan, pula mengenangnya sebagai pemimpin yang dekat dengan masyarakat akar umbi. Ketegasan, integriti dan kebijaksanaannya menjadikan beliau disegani tanpa perlu bersuara lantang.
Kandan turut berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Way selama dua penggal, dari 1974 hingga 1982, selain menganggotai Exco Selangor.
Antara sumbangan pentingnya ialah mengusahakan penyelesaian masalah perumahan pekerja ladang India yang kehilangan tempat tinggal akibat pembangunan semula kawasan ladang.
Sebagai penghargaan, sebuah kawasan di Puchong dinamakan Kampung Kandan.
Beliau juga membantu memartabatkan seni mempertahankan diri tradisional India, Silambam, termasuk menjadi pengasas dan presiden pertama Persatuan Silambam Malaysia.
Legasi Kandan melangkaui kedudukan dalam parti dan kerajaan. Sumbangannya membuktikan kepimpinan politik yang berkesan perlu disertai pembangunan generasi muda, pemeliharaan warisan serta usaha menyelesaikan masalah sebenar masyarakat. –UTUSAN
PERUJI PERUMAL
Penganalisis politik dan Penolong Pengarang Malaysia Nanban











