Cegah rasuah sebelum jadi barah

Cegah rasuah sebelum jadi barah

RASUAH merupakan perbuatan yang dilarang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkataan rasuah berasal daripada bahasa Arab, iaitu al-risywah yang merujuk pemberian sesuatu dalam bentuk wang, harta benda, jawatan, perkhidmatan, janji atau apa-apa bentuk imbuhan kepada pihak tertentu dengan tujuan mendapatkan balasan atau kelebihan yang tidak sepatutnya.

Pemberian tersebut lazimnya bertujuan mempengaruhi seseorang supaya memberikan sesuatu hak kepada pihak yang tidak layak menerimanya, sedangkan hak itu sepatutnya menjadi milik orang lain. Perbuatan ini tetap salah tanpa mengira kedudukan, kekayaan atau hubungan antara pemberi dengan penerima.

Sejak sekian lama, rakyat Malaysia diingatkan tentang bahaya amalan rasuah melalui pelbagai kempen, termasuk di alam maya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ingatlah kisah jerung dan ikan bilis. Jika diberi pilihan untuk mengurangkan salah satu daripada dua spesies ini, apakah tindakan yang akan diambil? Hakikatnya, kedua-duanya tetap wujud selagi keadaan membenarkannya. Begitu juga rasuah yang hanya dapat dibendung melalui tindakan tegas dan penguatkuasaan yang adil.

Golongan jerung yang berpengaruh mungkin lebih sukar ditangkap kerana mempunyai sumber dan kedudukan yang membolehkan mereka melawan tindakan penguatkuasaan. Sebaliknya, ikan bilis lebih mudah ditangkap kerana mempunyai pengaruh yang terhad.

Namun, sama ada jerung, ikan bilis atau pihak lain, kesalahan tetap kesalahan. Penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan secara adil tanpa memilih bulu atau membezakan kedudukan seseorang.

Berdasarkan pemerhatian saya sebagai pegawai badan berkanun, pendidikan antirasuah perlu diberikan sejak bangku sekolah. Pelajar perlu memahami maksud rasuah, kesannya terhadap masyarakat dan bahayanya kepada masa depan negara. Mereka ialah pewaris kepimpinan negara yang perlu dibentuk dengan nilai integriti, amanah dan tanggungjawab sejak awal.

Sejarah juga mengingatkan kita tentang kesan buruk salah guna kuasa dan keruntuhan integriti dalam sesebuah pemerintahan.

Dalam perspektif Islam, rasuah merupakan perbuatan yang dilarang. Manusia perlu menjauhi amalan yang menghalalkan cara demi memperoleh keuntungan atau kedudukan. Alasan sesuatu pemberian dilakukan dengan niat yang baik tidak semestinya menjadikan perbuatan itu benar. –UTUSAN

IBNU ARASY DZIKRULLAH ALLAHU AKBAR
Kepala Batas,
Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini