PENGASAS Solo Ambush mahu mengajak masyarakat menilai semula kepercayaan terhadap tahyul, cerita mistik dan kandungan sensasi yang mudah dimanipulasi demi mendapatkan tontonan.
Dalam dunia kandungan paranormal yang semakin bersifat komersial, lakonan, gimik, kesan bunyi dan suntingan boleh mempengaruhi persepsi penonton.
Bagi menawarkan pendekatan berbeza, Solo Ambush menggunakan rakaman langsung tanpa suntingan supaya khalayak dapat mengikuti penyiasatan dengan lebih terbuka.
Jika tiada kejadian luar biasa berlaku sepanjang siaran, keadaan itu sendiri diterima sebagai hasil pemerhatian.
Beliau turut menggunakan peralatan seperti Electromagnetic Field (EMF) untuk mengesan perubahan medan elektromagnet di lokasi tertentu.
Namun, bacaan tersebut tidak boleh dianggap sebagai bukti kewujudan makhluk ghaib tanpa penelitian lanjut.
Pendekatan berkenaan memperlihatkan kepentingan menilai sesuatu fenomena berdasarkan faktor fizikal dan bukti yang dapat diperhatikan.
Antara penyiasatan yang diketengahkan ialah mitos balan-balan di Sabah. Di Kudat dan Kota Belud, fenomena bebola api yang dikaitkan dengan makhluk berkenaan diteliti daripada sudut pemerhatian.
Pergerakan haiwan, pantulan cahaya dan keterbatasan penglihatan pada waktu malam boleh mempengaruhi tafsiran manusia terhadap sesuatu kejadian.
Solo Ambush turut menyiasat kejadian ketukan pintu serta misteri sebuah patung di Sarawak, selain meneroka Istana Tunku Kudin di Kepala Batas, Alor Setar.
Lokasi yang sering dilabel berhantu itu dilihat dari sudut sejarah dan seni bina, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat menilai warisan tanpa terikat kepada ketakutan.
Pendekatan sedemikian mempunyai nilai pendidikan kerana menggalakkan pemikiran kritis, terutama dalam kalangan generasi muda. Masyarakat perlu dibimbing supaya tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa penelitian.
Pada masa sama, ekspedisi ke kawasan seperti Pendang dan Kudat turut berpotensi membantu ekonomi setempat melalui penginapan, makanan, pengangkutan serta perkhidmatan pemandu.
Misi Solo Ambush bukan sekadar mencari jawapan terhadap misteri, tetapi mengajak masyarakat menggunakan akal, ilmu dan keberanian untuk menilai perkara yang selama ini diterima tanpa persoalan.
Kandungan paranormal seharusnya mampu mendidik tanpa memperdaya dan menghiburkan tanpa memupuk ketakutan.
Dengan pendekatan yang lebih telus serta rasional, penyiasatan misteri boleh menjadi medium pendidikan yang membantu masyarakat berfikiran terbuka, berilmu dan tidak mudah terperangkap dalam belenggu tahyul. – UTUSAN
DR. YUSRY SULAIMAN
Kolej Seni dan Sains,
Pengajian Sejarah dan Kenegaraan,
Pusat Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia (UUM)











