PERKAHWINAN ialah detik istimewa dalam kehidupan. Setiap pasangan tentu mempunyai impian masing-masing tentang bagaimana hari bahagia mereka mahu diraikan. Namun, dalam kemeriahan itu, ada satu perkara penting yang perlu difikirkan. Berapa kos yang perlu ditanggung dan bagaimana membiayainya? Persoalannya bukan sekadar berapa banyak wang yang dibelanjakan tetapi dari mana sumbernya.
Ada pasangan yang menggunakan wang simpanan. Ada yang mungkin mendapat bantuan daripada ibu bapa dan keluarga. Namun, bagaimana pula jika kemampuan kewangan tidak sepadan dengan kemeriahan yang diimpikan? Ramai yang akhirnya memilih untuk membuat pinjaman peribadi bagi menampung kos majlis. Malah, ada juga yang menggunakan kad kredit untuk membayar pelbagai perbelanjaan berkaitan kenduri.
Soal utama ialah kemampuan. Jika ada wang simpanan dan keluarga mampu menanggung kos tersebut, itu cerita yang berbeza. Namun, jika majlis terpaksa dibiayai dengan hutang, mungkin perkara ini perlu difikirkan dengan lebih mendalam. Setiap pasangan perlu membezakan antara kemahuan dengan kemampuan.
Mungkin bilangan jemputan boleh dikurangkan. Mungkin dewan komuniti lebih sesuai berbanding dewan hotel. Pada hari ini, ramai yang mahu semuanya kelihatan sempurna di media sosial. Namun, di sebalik kesempurnaan itu, pasangan mungkin terpaksa berdepan dengan keadaan kewangan yang menyesakkan.
Majlis yang sederhana tidak bermakna kurang istimewa. Lebih baik sederhana daripada terpaksa menanggung beban hutang bertahun. Tidak semestinya setiap perkara perlu yang paling mahal. Tidak semestinya jumlah tetamu perlu seramai mungkin. Tidak semestinya majlis perlu mengikut segala gaya semasa.
Yang penting ialah pasangan diraikan, keluarga dan sahabat handai dapat berkumpul dalam suasana penuh kegembiraan. Sudah tiba masanya kita mengubah cara kita menilai kejayaan sebuah majlis perkahwinan. Kejayaan sesebuah kenduri tidak seharusnya diukur pada besarnya dewan, mewahnya hidangan atau mahalnya pelamin mengikut trend semasa.
Sebaliknya, majlis yang berjaya ialah majlis yang tidak meninggalkan beban kewangan kepada pengantin dan keluarga.
Cuti sekolah yang bakal tiba akan menyaksikan banyak pasangan melangsungkan hari bahagia. Kepada bakal pengantin, raikanlah hari istimewa itu. Namun, dalam merancang kenduri, jangan lupa ambil berat soal kehidupan selepas kenduri. Bezakan keperluan dengan kehendak.
Ukur kemampuan. Jangan sampai kemeriahan sehari menjadi beban bertahun-tahun. Biarlah kemeriahan sehari diikuti dengan kehidupan tenang berpanjangan. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. NORHAFIZ NORDIN dan DR. NAZLIATUL ANIZA ABDUL AZIZ
Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)











