Fahami sufi sebelum menghukum

Fahami sufi sebelum menghukum

PERBEZAAN pandangan yang sepatutnya diraikan melalui hujah akhirnya bertukar menjadi pertelingkahan emosi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Ibn ‘Arabi sering menjadi tumpuan setiap kali timbul perbahasan mengenai konsep Wahdat al-Wujud.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hakikatnya, sebahagian besar polemik berpunca daripada kegagalan membezakan antara Wujudiyyah Muwahhidah dan Wujudiyyah Mulhidah, iaitu pengelasan yang pernah dihuraikan oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri dalam perbahasan tasawuf di Alam Melayu.

Polemik ini bukanlah sesuatu yang baharu. Pada abad ke-17, ketika berada di Aceh, al-Raniri melalui karya Tibyan fī Ma’rifat al-Adyan mengkritik beberapa pandangan yang dikaitkan dengan Hamzah Fansuri dan muridnya, Syamsuddin al-Sumatrani.

Menurut beliau, sebahagian ungkapan dalam karya Hamzah Fansuri boleh membawa kepada fahaman yang dikategorikan sebagai Wujudiyyah Mulhidah, iaitu fahaman yang dianggap menjejaskan prinsip tauhid.

Namun, sehingga kini para sarjana masih membincangkan sama ada kritikan tersebut benar-benar menggambarkan maksud asal Hamzah Fansuri atau sekadar berpunca daripada perbezaan tafsiran terhadap bahasa metafizik yang digunakan.

Di sinilah cabaran utama memahami karya-karya tasawuf. Tasawuf bukan sekadar membicarakan hukum atau akhlak tetapi turut menyentuh persoalan metafizik seperti hakikat kewujudan, hubungan antara Tuhan dan alam serta pengalaman kerohanian yang sukar diterjemahkan melalui bahasa biasa.

Namun, ramai sarjana menjelaskan analogi tersebut bukan bertujuan menyatukan Tuhan dengan makhluk, sebaliknya menerangkan seluruh alam bergantung sepenuhnya kepada Allah sebagai sumber segala kewujudan. Alam tetap bersifat baharu, dicipta dan sentiasa berhajat kepada-Nya, manakala Allah kekal sebagai Wujud Yang Mutlak.

Atas sebab itu juga, ramai sarjana kontemporari berpandangan menyamakan Wahdat al-Wujud dengan fahaman panteisme merupakan penyederhanaan yang kurang tepat.

Dalam tradisi falsafah Barat, panteisme lazimnya menyamakan Tuhan dengan alam, sedangkan dalam kerangka metafizik Ibn ‘Arabi, hubungan tersebut dijelaskan melalui konsep tajalli, iaitu penzahiran nama dan sifat Allah dalam alam tanpa menghapuskan perbezaan mutlak antara Khaliq dan makhluk.

Pandangan ini turut dihuraikan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karya The Mysticism of Hamzah Fansuri. Menurut beliau, terdapat kemungkinan al-Raniri mentafsir beberapa istilah yang digunakan oleh Hamzah Fansuri berdasarkan pengertian yang berbeza daripada maksud asal penulisnya.

Dalam sejarah intelektual Islam, perbezaan istilah bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ahli Kalam, ahli falsafah, ahli tasawuf dan ahli Ishraqi masing-masing mempunyai kerangka istilah tersendiri. Ada kalanya mereka menggunakan istilah berbeza bagi merujuk konsep yang hampir sama, manakala pada waktu lain istilah yang sama membawa maksud yang berlainan mengikut disiplin masing-masing.

Justeru, tidak adil untuk menilai keseluruhan sesuatu sistem pemikiran hanya berdasarkan beberapa ungkapan yang bersifat simbolik. Tradisi keilmuan Islam sentiasa menuntut sesuatu pandangan difahami dalam kerangka asalnya sebelum dibuat penilaian. Walau bagaimanapun, semua perbahasan metafizik tetap tertakluk kepada prinsip tauhid bahawa Allah Maha Esa, tidak menyerupai makhluk-Nya dan tidak bergantung kepada sesuatu selain diri-Nya.

Apa yang lebih membimbangkan pada hari ini ialah apabila perbahasan ilmiah bertukar menjadi budaya saling mengkafirkan.

Perbezaan pandangan yang sepatutnya diraikan melalui hujah akhirnya bertukar menjadi pertelingkahan emosi.

Dalam era media sosial pula, petikan pendek sering dijadikan asas untuk menghukum karya yang sebenarnya memerlukan pembacaan yang menyeluruh.

Akhirnya, pengajaran terbesar daripada polemik ini ialah pentingnya adab sebelum ilmu. –UTUSAN

MOHD. JAMIZAL ZAINOL
Pengerusi Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN