STATISTIK oleh Indeks Kebahagiaan Tempat Kerja menyatakan kira-kira 41 peratus pekerja di Malaysia mengaku mengalami keletihan melampau. 40 peratus anak muda dari golongan Generasi Z (Gen Z) paling terkesan dan menyatakan kesejahteraan di tempat kerja dapat ditingkatkan sekiranya tekanan yang dihadapi dapat diminimakan.
Dunia tanpa sempadan sepatutnya meringankan bebanan kerja telah menjadi penjara halimunan, mengikat golongan pekerja untuk terus memberikan komitmen sepenuhnya melangkaui waktu bekerja sebenar. Arahan-arahan daripada pihak atasan mahupun tugasan menerjah masuk melalui aplikasi pesanan ringkas dan emel tanpa mengira waktu termasuk lewat malam, hujung minggu bahkan ketika bercuti.
Secara tidak sedar, perkara ini merupakan toksik yang secara senyap menghakis sempadan kehidupan peribadi dan kerjaya. Keadaan ini mencetuskan kelesuan mental kerana otak tidak diberikan ruang untuk berehat dan pulih secara optimum.
Pekerja berdedikasi dan berprestasi tinggi bagaikan dihukum dengan bebanan tanpa penghujung. Fenomena ini berlaku apabila pekerja yang cekap dan kompeten diasak dan dihenyak dengan bebanan kerja bagi memastikan prestasi dan sasaran organisasi tercapai serta menampung kerja-kerja yang tidak mampu dilunaskan pekerja lain.
Eksploitasi zaman moden secara tidak langsung memberikan kesan keletihan melampau dan menyusutkan keupayaan kerja dalam kalangan pekerja yang berkualiti.
Perkara ini banyak disumbang oleh faktor persekitaran tempat kerja. Gaya kepimpinan yang terlalu autoritarian dan kawalan mikro menindas kebebasan dan autonomi pekerja. Pemimpin yang terlalu mengejar pencapaian dan sasaran tanpa ada budi bicara dilihat antara punca menyebabkan pekerja terus diperah dan dikerah demi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
Pekerja yang kompeten terus dihempuk manakala yang berprestasi rendah dibiarkan sahaja tanpa pemantauan. Budaya pilih kasih, buli di tempat kerja, serta ketiadaan sokongan psikologi daripada pihak pengurusan, persekitaran toksik ini menjadi racun yang mematikan motivasi dalaman pekerja.
Pekerja bukannya robot tetapi penggerak dan jentera kepada kemajuan sesebuah negara. Usah korbankan pekerja demi kejayaan sesuatu organisasi dengan kejatuhan kesihatan mental anggotanya. Sudah tiba masanya landskap alam pekerjaan tempatan berganjak daripada mengagungkan budaya kerja keras yang berlebihan kepada memupuk ekosistem kerja yang lestari.
Lahirkan modul budaya kerja positif dengan acuan kita sendiri dengan sentuhan elemen kemanusian. Tanpa reformasi terhadap tadbir urus sumber manusia, isu kelesuan melampau dalam kalangan pekerja akan terus menelan modal insan berbakat negara. Usahlah kerakusan kita di pucuk kepimpinan melahirkan generasi pekerja robot tanpa rasa dan jiwa. –UTUSAN
SHERILYN EMARIZA SHARIFFUDDIN
Kuala Lumpur











