Pengajaran pasca PRN Johor

Pengajaran pasca PRN Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANJANG tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, rakyat bukan sahaja disajikan dengan ceramah, manifesto dan liputan media. Mereka juga dibanjiri video pendek, poster digital, siaran langsung, mesej WhatsApp, tangkap layar yang tidak diketahui sumbernya, klip ucapan di luar konteks serta pelbagai dakwaan yang bergerak lebih pantas daripada penjelasan rasmi.

Ini menunjukkan cabaran pilihan raya hari ini bukan lagi kekurangan maklumat. Sebaliknya, cabaran sebenar ialah bagaimana rakyat memilih maklumat yang boleh dipercayai dalam lautan kandungan yang semakin padat.

Sepanjang kempen, pihak berkuasa mengingatkan orang ramai mengenai kewujudan akaun palsu, penyamaran identiti calon, penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian. Laporan selepas hari pengundian turut menunjukkan puluhan aduan diterima berkaitan kandungan sedemikian.

Hakikatnya, demokrasi moden tidak hanya berlangsung di pusat mengundi. Ia juga berlaku di telefon pintar, dalam kumpulan WhatsApp keluarga, di TikTok, Facebook, Instagram dan Telegram. Di ruang-ruang inilah persepsi dibentuk sebelum seseorang melangkah masuk ke saluran mengundi.

Oleh sebab itu, literasi media tidak boleh lagi difahami sekadar keupayaan membezakan berita benar atau palsu. Literasi media hari ini perlu membantu rakyat memahami konteks sesuatu maklumat, mengenal pasti kandungan yang dimanipulasi, menilai kredibiliti sumber dan membezakan antara fakta, pendapat serta propaganda.

Ramai pengguna sebenarnya berkongsi kandungan bukan kerana mereka yakin maklumat itu benar, tetapi kerana kandungan tersebut membangkitkan emosi. Kandungan yang membuat kita marah, takut atau terkejut lebih mudah ditekan butang ‘kongsi’ berbanding penjelasan yang panjang dan seimbang. Di sinilah cabaran terbesar komunikasi digital hari ini.

Media arus perdana juga mempunyai tanggungjawab yang semakin penting. Dalam suasana maklumat bergerak pantas, media bukan sekadar melaporkan kenyataan atau konflik politik. Media perlu menjadi penjernih maklumat. Perbandingan manifesto, semakan fakta, penjelasan prosedur pilihan raya dan penerangan isu tempatan sering kali lebih membantu rakyat daripada liputan pertikaman lidah antara ahli politik.

Platform media sosial perlu menunjukkan tanggungjawab yang lebih proaktif. Mekanisme pelaporan kandungan palsu perlu lebih pantas, telus dan mudah difahami. Pembetulan yang dibuat beberapa jam selepas sesuatu dakwaan tular mungkin sudah terlambat kerana persepsi awam telah terbentuk. Dalam komunikasi krisis, masa merupakan faktor yang sangat penting.

Pengalaman PRN Johor juga mengingatkan kita pengundi muda bukan sekadar pengguna media sosial yang aktif. Mereka merupakan kelompok yang semakin besar dalam proses demokrasi negara. Oleh itu, usaha meningkatkan literasi media perlu mengambil kira cara golongan ini mendapatkan maklumat, berinteraksi dengan kandungan digital dan membuat keputusan.

Lebih penting lagi, komunikasi yang inklusif tidak boleh diketepikan. Maklumat pilihan raya perlu mudah diakses oleh warga emas, orang kurang upaya, pengundi kali pertama dan mereka yang mempunyai tahap literasi digital yang berbeza. Demokrasi hanya benar-benar inklusif apabila setiap rakyat mempunyai peluang yang sama untuk memahami maklumat sebelum membuat keputusan.

Demokrasi tidak diukur hanya melalui jumlah keluar mengundi atau keputusan pilihan raya. Demokrasi juga diukur melalui kualiti maklumat yang diterima oleh rakyat sebelum mereka membuat pilihan. Dalam era digital, mempertahankan integriti maklumat mungkin sama pentingnya dengan mempertahankan integriti proses mengundi itu sendiri.

 

DR. MASTURA MAHAMED

Jabatan Komunikasi,

Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,

Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN