Dunia skrin ancam keselamatan pelajar

Dunia skrin ancam keselamatan pelajar

PENDEDAHAN berlebihan terhadap telefon pintar, media sosial dan permainan video membentuk cara remaja mentafsir dunia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESELAMATAN dan kesejahteraan emosi pelajar kini berdepan cabaran baharu yang semakin membimbangkan.

Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk belajar dan membentuk sahsiah turut terdedah insiden keganasan yang sukar dijangka.

Kebimbangan ini kembali menjadi perhatian susulan kejadian seorang pelajar perempuan menjadi mangsa tikaman di sebuah sekolah di Banting, Kuala Langat, baru-baru ini.

Walaupun kes itu masih dalam siasatan pihak berkuasa, ia wajar dijadikan peringatan yang isu kesihatan mental, kawalan emosi dan pengaruh media digital dalam kalangan remaja memerlukan perhatian.

Perlakuan agresif tidak lagi boleh dilihat sebagai masalah disiplin. Pendedahan berlebihan terhadap telefon pintar, media sosial dan permainan video turut membentuk cara remaja mentafsir dunia.

Mereka membesar dalam persekitaran digital yang menawarkan maklumat, hiburan dan interaksi tanpa batas sehingga mencampuradukkan dunia maya dengan realiti.

Apabila remaja gagal memahami perbezaan ini, mereka lebih mudah bertindak mengikut emosi tanpa memikirkan kesan terhadap orang lain.

Lebih membimbangkan, algoritma media sosial mempromosikan kandungan yang mampu menarik perhatian pengguna. Video pergaduhan, buli, penghinaan dan aksi ganas lazimnya menerima tontonan tinggi sebelum disebarkan kepada lebih ramai pengguna. Pendedahan berulang terhadap kandungan seperti ini boleh menormalisasikan keganasan sehingga sesuatu yang dahulunya dianggap salah akhirnya dilihat sebagai perkara biasa.

Pengaruh permainan video berunsur keganasan juga tidak boleh dipandang ringan. Banyak permainan menawarkan ganjaran apabila pemain berjaya menewaskan lawan.

Walaupun majoriti pemain mampu membezakan permainan dengan realiti, namun pendedahan berlebihan tanpa kawalan, khususnya kepada remaja yang masih berkembang dari segi emosi, boleh mengurangkan rasa empati serta meningkatkan kecenderungan bertindak secara impulsif ketika berhadapan konflik.

Peranan ibu bapa menjadi semakin penting dalam landskap digital hari ini. Telefon pintar tidak seharusnya dijadikan alat untuk mengisi masa lapang anak-anak tanpa pemantauan. Sebaliknya, ibu bapa perlu mengetahui kandungan dan permainan yang dimainkan selain perubahan tingkah laku anak.

Komunikasi terbuka dalam keluarga mampu membantu mengesan lebih awal tekanan emosi, ketagihan gajet atau perubahan sikap yang membimbangkan.

Pada masa sama, kerajaan, institusi pendidikan dan penyedia platform digital perlu memperkukuh kerjasama bagi mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat.

Pendidikan literasi digital, pengurusan emosi dan keselamatan dalam talian perlu diperkasakan di sekolah, manakala guru bimbingan dan kaunseling harus diperlengkap dengan kemahiran mengenal pasti pelajar yang berisiko.

Platform media sosial pula perlu memperketat kawalan terhadap kandungan ganas yang mudah diakses oleh pengguna bawah umur.

Insiden keganasan di sekolah bukan sekadar isu jenayah atau disiplin, sebaliknya mencerminkan cabaran baharu.

Kegagalan membezakan antara dunia maya dengan alam nyata boleh menjejaskan cara remaja berfikir, mengawal emosi dan membuat pertimbangan. Justeru, usaha melindungi generasi muda tidak lagi memadai dengan memperkukuh aspek keselamatan fizikal semata-mata.

Pendidikan literasi digital, pemantauan ibu bapa dan kerjasama semua pihak perlu diperkasakan agar teknologi terus menjadi alat yang membina insan, bukannya mencetuskan ancaman kepada keselamatan pelajar. –UTUSAN

AFIQAH KAMARUL
Pensyarah Kanan,
Program Komunikasi Media Baharu,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN